[ARTIKEL] DAESH: KEBANGKITAN DAN PENGARUH MEDIA SOSIAL
[SIRI 4]: PERANGSARAF DAESH DI MEDIA SOSIAL
Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
Universiti Kebangsaan Malaysia Jurnal Komunikasi UKM,
Vol. 32 (2) 2016, ISSN 2289-1528, Scopus.
Perangsaraf Daesh melalui media sosial
dengan menerbitkan dua video propaganda sudah cukup menggugat keselamatan
negara Malaysia. Masalah menjadi semakin serius apabila ada rakyat Malaysia
yang bersimpati dengan Daesh selepas menonton dua video tersebut dan menyumbang
kepada statistik penangkapan dan penghijrahan rakyat Malaysia ke Syria dengan
maksud yang salah. Setakat ini juga jelas bahawa Daesh menyedari perangsaraf
media merupakan senjata ampuh lagi efektif dalam melawan sebuah kerajaan yang berdaulat
seperti Malaysia.
Apa yang mereka perlukan hanyalah sebuah
video, hubungan internet dan platform media sosial untuk melancarkan operasi
mereka. Daesh kini memahami bahawa ‘peluru-peluru’ ideologi lebih efektif dari
peluru senjata api. Selain itu, jika diperhatikan dengan teliti, Daesh tidak
membuat video propaganda untuk ditujukan kepada kerajaan Malaysia semata-mata
sebaliknya ia ditujukan kepada khalayak rakyat Malaysia juga.
Ini bermaksud, Daesh yakin dengan taktik
ini, orang muda dan golongan belia yang aktif melayari internet akan sedikit
sebanyak terdedah kepada agenda Daesh yang terkandung dalam video tersebut.
Dalam satu aspek lain pula, Daesh petah mengatur serangan perangsaraf mereka
dari kedudukan yang sukar dipatahkan oleh anggota keselamatan kita, contohnya,
penghasilan video tersebut dibuat di Syria, Iraq, Indonesia atau Selatan
Filipina dan kemudian dimuatnaik ke dalam platform media sosial seperti Youtube
dan Facebook.
Oleh kerana capaian Facebook dan Youtube
adalah global, maka amat mudah video tersebut sampai ke khalayak sasaran
mereka. Terbukti medial sosial menjadi pemangkin ideologi Daesh dan ia telah
memudahkan Daesh dalam misi menghasut rakyat Malaysia dan global amnya untuk
mengikuti agenda mereka dan yang memburukkan keadaan adalah ruang media sosial
yang terbuka dan sukar dikawal.
Menurut Stern & Berger (2015), bukti
yang meyakinkan telah mencadangkan bahawa media sosial pada amnya digunakan
untuk menghalang penyertaan orang ramai ke dalam gerakan pengganas, akan
tetapi, bagi mereka yang lemah dan mudah terpengaruh dengan keganasan, media
sosial menjadi medan kegelapan dalam memberi peluang kepada kumpulan pengganas
untuk merekrut dan mempengaruhi mereka.
Manakala melalui Twitter dan Facebook pula,
ia menjadi semakin mudah untuk orang ramai terjumpa dengan akaun-akaun golongan
radikal dan pengganas dan platform telah menjadi pemudahcara kepada pengganas
untuk mencari mangsa mereka yang terdiri dari masyarakat kebanyakkan.
IKUTI KAMI 👇
https://twitter.com/alhaqcentre
https://al-haqcentre.blogspot.com/
https://instagram.com/alhaqcentre
"BERSATU MENENTANG KEGANASAN!"
Comments
Post a Comment