[SIRI 5]: MASALAH PENAPISAN KANDUNGAN DAESH DI MEDIA SOSIAL.


[ARTIKEL] DAESH: KEBANGKITAN DAN PENGARUH MEDIA SOSIAL
[SIRI 5]: MASALAH PENAPISAN KANDUNGAN DAESH DI MEDIA SOSIAL.

Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
Universiti Kebangsaan Malaysia Jurnal Komunikasi UKM,
Vol. 32 (2) 2016, ISSN 2289-1528, Scopus.

Daesh yakin bahan seperti video, artikel, audio dan gambar yang bertujuan untuk menghasut dan mengancam amat mudah dipatahkan oleh sistem penapisan internet. Oleh kerana ini, pusat media Daesh seperti al-Hayat Media Center dan Dabiq telah menggunakan strategi baru iaitu dengan menggunakan pelbagai bahasa untuk menyampaikan ideologi mereka. Contohnya, jika internet mampu menapis dokumentari mereka bertajuk Flames of War: The Fighting Has Just Begun, apa yang Daesh perlu buat adalah menukar tajuk dokumentari tersebut kepada bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Melayu, Bahasa Turki, Bahasa Pasthun, Bahasa Indonesia, Tagalog dan sebagainya.

Dengan cara ini penapisan di dalam internet hanya mampu menapis sebahagian sahaja bahan-bahan dari Daesh, selebihnya masih bebas terapung-apung di dalam platform media sosial dalam pelbagai bahasa yang lain dan kemudian disebarkan oleh pengikut mereka yang lain. Pihak berkuasa, pemerhati media sosial contohnya akan berada dalam keterpingaan dalam meramal siapa dan bila bahan-bahan propaganda seperti video Daesh akan tersebar lagi.

Menurut Weimann (2016), pada 2014, ISIS (Daesh) telah membuka banyak akaun media sosial yang digunakan untuk tujuan penyebaran video, audio, dan imej-imej melalui pelbagai saluran dan pelbagai bahasa, dengan cara ini mereka berjaya mengelakkan penapisan dalam talian internet. Benjamin (2016) juga menambah, untuk semua bentuk organisasi Jihad, “jihad melalui media” adalah bahagian paling penting dalam peperangan mereka.

Kebolehan untuk berkomunikasi dengan mesej yang jelas dan ringkas kepada khalayak yang paling luas dalam masa yang sama menjadi media berprofil tinggi dengan tujuan untuk meyakinkan, mengukuhkan kawasan, menguatkan saranan, dan merekrut lebih ramai penyokong dan pejuang adalah strategi kritikal untuk organisasi Jihad terus berjaya dan hidup.

Selain itu, Daesh juga bukan sahaja aktif dalam media sosial malah mereka juga aktif dalam penyebaran maklumat melalui media tradisional lain seperti radio, poster, dan billboard. Sebagai contoh Daesh mempunyai siaran radio sendiri yang diberi nama Al-Bayan. Mula beroperasi pada tahun 2014 beberapa minggu selepas mereka menawan Bandar Mosul. Daesh juga mempunyai suratkhabar sendiri yang diberi nama Al-Naba yang mula beroperasi pada tahun 2012.
Dalam kebanyakkan masa, media tradisional Daesh seperti radio dan suratkhabar ini menyampaikan maklumat seperti waktu azan, bacaan Al-Quran, bacaan hadis dan sebagainya dalam pelbagai bahasa seperti Inggeris, Arab, Perancis dan Rusia. Namun, untuk suratkhabar Al Naba, ia juga boleh didapati dalam bentuk pdf dan disebarkan ke dalam media sosial oleh penyokong Daesh.

Sebenarnya, dominasi Daesh dalam dunia penyiaran, secara spesifiknya, narrowcasting yang memfokus kepada khalayak media sosial tertentu telah bermula jauh lebih awal iaitu sekitar tahun 2006. Menurut Ahmad (2016), dalam bulan November 2006, selepas kumpulan itu melakukan penjenamaan nama sebagai Islamic State of Iraq, mereka telah menubuhkan al Furqan Institute for Media Production yang berfungsi menghasilkan CD, DVD, poster, pamplet dan produk propaganda yang berkaitan dengan internet. Ahmad (2016) menambah lagi, pada 2014, ISIL (Daesh) menubuhkan al-Hayat Media Centre untuk sasaran khalayak barat dan menghasilkan bahan-bahan dalam bahasa Inggeris, Jerman, Rusia dan Perancis.

Dalam bulan Disember 2014, Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan iaitu James Comey mengatakan bahan propaganda oleh ISIL (Daesh) sangat hebat. Mereka boleh melakukan penyiaran media dalam 23 bahasa yang berbeza. Jelas Daesh juga tertakluk kepada penapisan dalam internet. Namun oleh kerana mereka menggunakan pelbagai cara dari media tradisional ke media sosial dan menggunakan sehingga 23 bahasa berbeza menyebabkan aktiviti penapisan sukar dibendung.

Daesh juga mempunyai unit media yang sangat dedikasi dalam aktiviti penerbitan dan penyebaran ideologi. Boleh jadi Universiti Mosul adalah punca kepada operasi ini, namun selepas ia menjadi sasaran pengeboman oleh Amerika Syarikat dan sekutunya, Daesh mungkin sudah meluaskan operasi media ke tempat lain dan mereka juga mempunyai beberapa makmal media yang aktif di tempat yang berlainan, di Iraq, Syria atau di serata dunia.

Setakat ini mungkin kesimpulan boleh dibuat bahawa Daesh bertanggungjawab dalam menghasut orang ramai menyertai mereka. Walaubagaimanapun, perlu di ingat juga bahawa bahan-bahan video Daesh yang tersebar, sebahagiannya disebarkan oleh media arus perdana juga.

IKUTI KAMI 👇
https://twitter.com/alhaqcentre
https://al-haqcentre.blogspot.com/
https://instagram.com/alhaqcentre

"BERSATU MENENTANG KEGANASAN!"

Comments