[ARTIKEL] DAESH: KEBANGKITAN DAN PENGARUH MEDIA SOSIAL

DAESH: KEBANGKITAN DAN PENGARUH MEDIA SOSIAL


SIRI 7: KESIMPULAN.
Daesh merupakan ancaman baru kepada dunia hari ini. Selain senjata api, Daesh memiliki kebolehan menggunakan media sosial sebagai senjata. Video merupakan instrumen perangsaraf dan propaganda Daesh paling ampuh. Pada awalnya video dan media sosial digunakan untuk menimbulkan rasa takut pada kerajaan dan rasa terpesona pada para simpati. Namun, persoalan mula timbul bila semakin banyak video-video propaganda Daesh yang kejam dikeluarkan bertali-arus, apakah motif Daesh sebenarnya?
.
Bahagian kesimpulan ini tidak mungkin boleh merumuskan masalah pengganas hari ini dengan mudah. Namun apa yang boleh rumuskan sebaliknya adalah Daesh adalah satu nama yang perlu diberi perhatian jika tidak mereka akan memberi ancaman kepada keselamatan Negara, keselamatan manusia dan keselamatan siber.
.
Di Asia Tenggara, Daesh dikenali sebagai Katibah Nusantara. Indonesia, Malaysia dan Filipina menjadi kawasan yang subur dalam pembiakkan pengganas Daesh berbaka Melayu. Kesan Berbola Salji membuatkan pengikut yang sedikit ini berkembang menjadi besar kerana mereka mengajak ahli keluarga terjun ke gaung ideologi keganasan ini. Selain itu, oleh kerana majoriti penduduk di Asia Tenggara merupakan rumpun Melayu maka peratusan Daesh untuk mengumpul pejuang dikalangan orang Melayu juga adalah tinggi dan mudah.
.
Selagi video-video Daesh bermaharajalela di dalam media sosial maka ancaman Daesh akan sentiasa mampan. Hal ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana semakin lama ia akan mengalami fasa disensitiviti; iaitu satu keadaan masyarakat mula melihat keganasan Daesh sebagai sesuatu yang normatif.  Kemajuan teknologi internet memainkan peranan dalam perkembangan sebarang bentuk ideologi.
.
Semakin laju, murah dan meluas capaian internet maka semakin laju juga penyebaran ideologi-ideologi asing. Hari ini tidak sama seperti hari-hari dalam tahun 1990an. Internet hari ini merupakan keperluan spesis manusia. Seperti ikan memerlukan air dan haiwan lain memerlukan habitatnya untuk hidup, begitulah pentingnya internet kepada manusia hari ini yang sentiasa dahagakan maklumat. Metaforanya, kita boleh memetik kata-kata emas P.T. Barnum yang berbunyi, manusia yang tidak mempunyai suratkhabar maka dia terpisah dari spesisnya.
.
P.T. Barnum memberi maksud ‘suratkhabar’ adalah satu bentuk maklumat. Manusia adalah hidupan yang memerlukan maklumat dan maklumat kepada manusia adalah penting seperti makanan, minuman dan oksigen. Begitu juga penggunaan internet akan sentiasa bertambah dan medan ruangan siber akan menjadi tempat pertukaran maklumat, perkongsian idea dan penyebaran pelbagai ideologi, samada buruk atau baik.  Namun di dalam mencari maklumat, Daesh sudah pun menyisipkan maklumat mengenai keberadaan mereka dalam media sosial.
. Video-video propaganda kejam menjadi mata kail dan  umpan yang efektif dalam menarik minat media arus perdana untuk memberi liputan kepada Daesh. Daesh menjadi popular bila video mereka dilaporkan oleh media massa arus perdana. Mungkin juga jika video-video mereka tidak dilaporkan oleh media barat dan media Malaysia, Daesh pun tidak berminat memotong leher manusia lain. Media arus perdana harus berhenti membuat liputan terhadap atau mengenai Daesh. Lebih baik laporan yang ada cuma diberikan kepada bahagian perisikan tentera, polis atau Majlis Keselamatan Negara sahaja.
.
Ini kerana mereka mempunyai polisi dan dasar untuk membuat keputusan mengenai isu pengganas. Tapi jika dilaporkan pada rakyat, apakah yang rakyat mampu buat? Menyertai Daesh kerana terpengaruh atau mereka akan membenci Daesh? Keadaan sekarang menunjukkan wujud dua kelompok rakyat yang mana satu terpengaruh dan kemudian menyertai Daesh dan yang kedua adalah mereka yang tidak bersetuju.
.
Walaubagaimanapun, mungkin juga wujud kelompok ketiga iaitu golongan rakyat yang ragu-ragu mengenai Daesh adalah paling bahaya kerana persepsi dan pemikiran mereka boleh berubah dari anti ke pro Daesh. Cuma kita tidak tahu siapa, dimana, dan bila mereka akan membuat keputusan dan pokok kepada masalah yang bakal datang ini adalah video-video Daesh yang disebarkan bertali arus dalam media sosial.
.
Daesh membawa ideologi paradoks. Satu aspek mereka Sunni Islam dan satu aspek lagi mereka seperti dirasuk Iblis dengan membunuh orang ramai tidak bersenjata. Ideologi paradoks begini adalah punca kepada wujudnya golongan khalayak ketiga yang keliru. Ilmu pemikiran seimbangan dan Semantik Umum oleh Kozybsky yang bincangkan oleh Profesor Madya Rajib Ghani, iaitu bekas Pengarah dan Pengasas Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA boleh dipertimbang untuk menambah baik operasi-operasi anti pengganas hari ini.
.
Urusan menangani masalah pengganas seperti Daesh adalah urusan yang memerlukan daya tujahan kolektif dari pelbagai pihak. Perbincangan Meja Bulat, Kolokium dan Ceramah antara jabatan kerajaan boleh diusahakan dan melalui medium ini, seterusnya barulah solusi jangka panjang boleh difikirkan dan digubal demi kemakmuran sejagat. Malaysia perlu menjuarai isu keganasan hari ini dan memetik kata-kata seorang guru dalam ilmu perangsaraf media dan informasi iaitu, Profesor Madya Rajib Ghani, “Malaysia perlu menjadi mediator antara Negara barat dan Timur Tengah untuk mencapai kedamaian”.  
.

Sumber: Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
Universiti Kebangsaan Malaysia
Jurnal Komunikasi UKM, Vol. 32 (2) 2016, ISSN 2289-1528, Scopus.

.
IKUTI KAMI 👇
https://twitter.com/alhaqcentre
https://al-haqcentre.blogspot.com
https://instagram.com/alhaqcentre
.
"BERSATU MENENTANG KEGANASAN!"


Comments