[ARTIKEL] DAESH ISYTIHAR PERANG TERHADAP MALAYSIA: SATU TINJAUAN AWAL. [SIRI 1]: ANCAMAN FIZIKAL MILITAN DAESH VS KEKUATAN MALAYSIA

[ARTIKEL] DAESH ISYTIHAR PERANG TERHADAP MALAYSIA: SATU TINJAUAN AWAL

[SIRI 1]: ANCAMAN FIZIKAL MILITAN DAESH VS KEKUATAN MALAYSIA

Penulis: Ahmad Sauffiyan


 PENDAHULUAN

Pada  18  Mei,  2016,  kumpulan  Daesh  menerusi  video  propaganda  berdurasi  16  minit  telah mengisytihar perang terhadap Malaysia.  Pengisytiharan ini disampaikan oleh ketua sayap Daesh dari unit Katibah Nusantara iaitu Zainuri Kamaruddin, 49,  yang juga merupakan bekas ketua Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM). Alasan yang diberikan oleh  Zainuri  untuk  berperang dengan  Malaysia  adalah  kerana  negara  ini  dilihat  sebagai  sebuah  negara  taghut  (zalim  dan berbuat jahat). Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas Cawangan Khas Bukit  Aman  SAC  Datuk  Ayob  Khan  Mydin  Pitchay  berkata,  “pihak  Polis  akan  memantau sebarang  aktiviti  domestik  dari  kumpulan  yang  bersimpati  dengan  Daesh  bagi  mengelak sebarang kejadian yang tak di ingini terjadi”. Ayob menambah lagi, “kita bersiap sedia, pengaruh Daesh  tersebar  luas  di  sempadan  utara,  selatan  Filipina  dan  kemungkinan  serangan  secara berseorangan”. Persoalan  dari  ancaman  ini  adalah,  dimanakah  kekuatan  sebenar  Daesh  dalam  melancarkan sebuah kempen peperangan terhadap negara berdaulat seperti Malaysia? adakah pengisytiharan ini  hanyalah sebuah  perang  psikologi oleh  Daesh  menerusi video  propaganda  mereka untuk menimbulkan gangguan perasaan dan emosi dikalangan rakyat Malaysia semata-mata?


ANCAMAN FIZIKAL MILITAN DAESH VS KEKUATAN MALAYSIA

Daesh merupakan ancaman yang sedang berkembang di rantau ini. Namun kemampuan mereka bergerak  bebas  di Malaysia  dan rantau  Asia Tenggara secara  berkumpulan dan  melancarkan serangan besar-besaran adalah terhad. Contohnya, di asia tenggara, Daesh mungkin memerlukan sokongan pasukan gabungan antara MILF atau Abu sayyaf di Filipina dan melancarkan perang fizikal di kawasan utara Sabah sahaja. Jika hal ini terjadi ia akan merugikan kumpulan Daesh kerana  kemampuan  pasukan  PDRM  dan  ATM  dengan  jaringan  perisikan  sistematik  antara pasukan dan jabatan keselamatan antarbangsa mampu mematahkan mereka dan ditambah dengan kewujudkan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) yang menjaga keselamatan kawasan bersaiz 1400 kilometer persegi di bahagian utara Sabah, maka ia akan menjadi mimpi ngeri buat kumpulan Daesh jika mahu berdepan dengan pasukan keselamatan Malaysia. 

Selain itu, krisis pencerobohan Lahad Datu pada 2013 yang diterajui oleh Angkatan Keselamatan Diraja Kesultanan Sulu  dan Borneo Utara telah berjaya dipatahkan oleh pasukan keselamatan Malaysia.  Ini  telah menguatkan  lagi bukti kemampuan  Malaysia  dalam menjaga  keselamatan tanah air. Pada asasnya, sama ada Sabah, Kuala Lumpur, Johor atau mana-mana negeri di dalam Malaysia, negara ini tidak akan tunduk dengan ancaman dari kumpulan Daesh. Saya yakin rakyat Malaysia  sendiri  dan pasukan  keselamatan akan bangkit  bersatu mempertahankan kedaulatan negara dari dijajah oleh pengganas antarabangsa seperti kumpulan Daesh.     

Sejarah Malaysia juga membuktikan bagaimana kerjasama pasukan PDRM dan Polis Indonesia  berjaya  menewaskan  Jemaah  Islamiyah  dengan  memburu  Nordin  Mat  Top  dan  seterusnya menembaknya mati dalam satu serbuan pada tahun 2009 di Jolo, Jawa Tengah Indonesia. Malah lebih awal dari itu, pada tahun 2000,  PDRM berjaya mematahkan ancaman  Al-Maunah  yang diketuai oleh  Mohamed Amin  Mohamed Razali dengan  bantuan  Rejimen  22 Komando Grup Gerak Khas dan  VAT  69 dari  PDRM dalam Ops Subuh di bukit Jenalik, Sauk, Perak. Jelas sekali  sehingga  kini,  operasi  demi  operasi  telah  dilakukan  dengan  jayanya  dan  hakikatnya pasukan  PDRM,  ATM  mahupun  pasukan  keselamatan  lain  mempunyai  pengalaman  dan kebolehan yang cukup tinggi dalam menghadapi pengganas bersenjata dan Malaysia bukanlah pilihan yang tepat bagi Daesh untuk memberi ancaman fizikal mereka.

Dari perspektif lain pula, sejarah Darurat Malaya dari tahun 1948 hingga 1960 boleh dirujuk bagi melihat  kemampuan  pasukan  Polis,  Kerajaan  Malaya  dan  Inggeris  yang  telah  berjaya menghancurkan gerakan komunis yang begerak di dalam hutan di Malaysia. Taktik penyamaran, perisikan,  sabotaj,  perang  psikologi  dan  penggunaan  ejen  di  kalangan  ahli  komunis  yang berpaling  tadah  contohnya  telah  digunakan  untuk  menewaskan  komunis  di  Tanah  Melayu. Walaupun operasi ini mengambil masa 12 tahun namun akhirnya gerakan komunis telah berjaya dikalahkan keseluruhannya.

Dari penjelasan ini jelas sekali ancaman fizikal pengganas, militan dan insurgensi bersenjata di Malaysia bukanlah perkara baru dan Malaysia sebuah negara berdaulat mampu menghadapinya. Selain itu, aset kelengkapan persenjataan pasukan keselamatan negara samada PDRM atau pun ATM juga jauh lebih baik dan lengkap bagi menghadapi sebarang kemungkinan ancaman dari Daesh. Oleh itu ancaman perang  oleh Daesh tidak berkesan jika tujuannya hendak bertempur secara fizikal dan depan-depan dengan pasukan keselamatan kita.  Cuma yang merisaukan  hari  ini adalah  penyebaran ideologi  melalui video propaganda Daesh yang digunakan untuk merekrut ahli baru dan mengukuhkan lagi cengkaman ideologi mereka ke dalam hati dan minda orang yang bersimpati dengan Daesh. Taktik perang psikologi media ini saya fikir,  jauh lebih  merbahaya dari peluru  yang membunuh  dan ia  akan menjadi ancaman kepada keselamatan minda di kalangan rakyat Malaysia yang mudah bersimpati.



FOLLOW US 👇🏼
https://al-haqcentre.blogspot.com
https://instagram.com/alhaqcentre
https://twitter.com/alhaqcentre

Comments