[ARTIKEL] GELOMBANG DUNIA ISLAM TUNTUT KERAJAAN TELUS


Dunia berputar dengan cepat dan pada setiap kitaran, peristiwa dan insiden membentuk pelbagai isu berlatarbelakangkan konflik dan pencapaian, khususnya bagi dunia Islam. Harapan kesatuan ummah tidak akan tercapai dengan mudah, melainkan ia semakin dihimpit dengan geopolitik rantau dan masalah dalaman negara Islam itu sendiri.
.
Bagi yang mengharapkan konflik berdarah di Asia Barat akan selesai, mereka silap kerana 2020 akan menyaksikan konflik baharu antara pemerintah dengan rakyat.
.

Kebangkitan suara yang diharamkan demokrasi sebelumnya kini semakin lantang menuntut elitis pemerintah lebih bertanggungjawab. Iraq, yang melalui fasa memerangi musuh militan dan percubaan demokrasi baharu, kini berdepan realiti pemerintahan yang dituntut memberikan kehidupan selesa kepada rakyat.
.

Rakyat sudah berjaya menumpaskan musuh bersama negara, kini giliran pemerintah memenuhi tugasannya kepada rakyat. Rakyat muak dengan ahli politik yang mencatur puak masing-masing daripada menyampaikan keperluan rakyat. Lebih utama rakyat mahukan negara Iraq ditentukan oleh rakyat dan bukan kuasa luar yang ada kepentingan geopolitik seperti Iran.
.

Lubnan pula menyaksikan kebangkitan rakyat menuntut tiada dominasi elemen luar dalam menentukan politik negara. Kehadiran Hizbullah yang mewakili kekuatan luar politik dengan campur tangan Iran mencaturkan kehidupan bernegara, ditolak oleh rakyat.
.

Kepelbagaian puak yang dibahagi mengikut ketetapan kini dicabar kepada kerangka baharu yang meletakkan golongan profesional teknokrat memimpin negara.
.

Mesir akan terus mengulangi gaya kepemimpinan kuku besi versi Hosni Mubarak 2.0. Kejayaan Abdul Fatah As-Sisi membatalkan kemenangan secara demokrasi Morsi akan dipertahankan atas alasan memastikan kestabilan politik Mesir dan kepentingan ekonominya.
.

Sesuatu yang menarik di Asia Barat ialah hampir semua rejim akan tertumpu untuk memberikan tekanan kepada Jamaah Ikhwanul Muslimin (Ikhwan) sebagai musuh bersama. Alasan memerangi unsur militan yang membawa kepada keganasan akan dikaitkan dengan kelompok Ikhwan.
.

Satu daripada garis pemisah yang membentuk hubungan tegang antara Arab Saudi dengan Qatar kerana Qatar dituduh memelihara dan melindungi Ikhwan melalui Kesatuan Ulama Sedunia yang berpusat di Doha. Ikhwan akan menjadi ‘kambing hitam’ dengan peranan antagonis yang akan dipropagandakan menggugat kestabilan pemerintah Asia Barat.
.

Blok dunia Islam yang sinonim dengan pelantar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sebagai titik kesatuannya, tergugat dengan kebangkitan negara Qatar, Iran, Turki dan Malaysia yang menuntut OIC lebih efektif di bawah kepemimpinan Arab Saudi.
.

KL Summit atau Sidang Kemuncak Kuala Lumpur adalah hasrat yang mahukan dunia Islam tertumpu kepada membina kekuatan ekonomi dan keselamatan ummah serta keterampilan pemerintahan yang lebih demokratik dan ketelusan memerintah. Seruan ini seolah-olah mencabar sebahagian dunia Arab khususnya negara Teluk yang masih jauh rekod nilai demokratiknya.
.

Indonesia dan Pakistan tertekan untuk ‘tidak menimbulkan masalah’ kepada kesatuan negara Islam dengan tidak menunjukkan sikapnya seperti yang ditegaskan oleh negara utama dalam KL Summit, baru-baru ini.
.

Malaysia berusaha secara proaktif menghimpunkan kepentingan dunia Islam di atas dasar menangani Islamofobia melalui kekuatan media dan ekonomi.
.

Negara Arab Saudi akan meneruskan tradisi menjadi negara utama umat Islam dengan dasar lebih agresif menempatkan posisinya di mata dunia. Seperti dilakukan kepada Qatar dan Iran, tidak dinafikan negara lain yang dilihat tidak ‘mesra’ Arab Saudi akan mendapat amaran keras melalui pelbagai cara.
.

Malaysia perlu meningkatkan lagi secara diplomatik kaedah meyakinkan Arab Saudi bahawa peranan Malaysia adalah menyempurnakan kekurangan dan bukan menandingi Arab Saudi.
.

Turki mengalami masalah dalaman tersendiri dari sudut politik di atas populariti parti pimpinan Presiden Recep Tayyip Erdogn yang semakin menurun. Peranan Turki dalam konflik Libya, Syria dan usaha melebarkan teknologi ketenteraannya ke paksi KL Summit akan sentiasa diragui oleh musuhnya.
.

China akan terus berdepan dengan isu etnik Uyghur. Sentimen orang Islam diseksa dan diragut kebebasannya beragama menjadi ledakan pada gerakan anti-China. Amerika Syarikat akan tumpang gelombang ini atas kepentingan hak asasi manusia untuk memburukkan imej China.
.

Pada peringkat pemerintah, ia akan memberi tekanan kepada negara Islam yang ada kepentingan perdagangan besar dengan China, termasuk Malaysia.
.

India di bawah Narendra Damodardas Modi akan dianggap anti-Islam khusus dasar diskriminasi ke atas orang Islam dan bantaian ke atas Kashmir. Palestin tetap mendapat kedudukan teratas dalam semua konflik kemudian Kashmir dan seterusnya perang di Syria.
.

Negara Islam akan terus bersuara kepada penindasan ini, namun dominasi Amerika Syarikat dan sekutunya di pentas dunia akan menyaksikan Russia mengambil kesempatan membentuk sekutu dengan pemimpin negara Islam.
.

Arab Saudi akan kekal dasar pro-Amerika Syarikat, manakala negara Islam lain akan melihat peluang menerokai hubungan lebih erat dengan Russia, walaupun perang di Syria menjejaskan imej Russia kerana mempertahankan rejim Bashir.
.

Pemisahan mazhab Sunni-Syiah melembapkan dialog antara kedua-duanya kerana perang geopolitik menguasai hubungan Sunni-Syiah dengan Iran dan Arab Saudi memimpin konflik ini. Negara Islam tercabar daripada pergolakan dalaman dan 2020 akan menyaksikan gelombang tuntutan rakyat kepada kerajaan yang lebih telus dan bertanggungjawab kepada keselesaan hidup rakyat.
.

Kepemimpinan yang mampu menangani kecelaruan ini akan berjaya memimpin, manakala pada peringkat antarabangsa pilihan diplomasi dan rundingan menjadi jalan pemimpin Islam menangani krisis ummah dan konflik serantau dengan negara bukan Islam.
.

Tahun 2020 akan mengukir lebih cabaran, tetapi ia akan meningkatkan kemunculan kepemimpinan Islam yang lebih terbuka, progresif dan dihormati kawan dan lawan. Jalan kebencian kaum, ketaasuban puak dan mazhab tidak akan mendapat tempat walaupun suara ini cuba mendominasi ummah untuk kepentingan undi sentimen.
.
.
Sumber: Berita Harian Online- 05 Januari 2020
.
IKUTI KAMI 👇
https://twitter.com/alhaqcentre
https://al-haqcentre.blogspot.com/
https://instagram.com/alhaqcentre
.
“ BERSATU MENENTANG KEGANASAN! ”

Comments