[ARTIKEL] KESELAMATAN NEGARA DIPERKUKUH DENGAN LANTIKAN MUHYIDDIN




 Setelah seminggu rakyat menjadi keliru dengan kemelut politik yang melanda Malaysia, maka secara rasminya dikira berakhir dengan pelantikan Muhyidin Yassin sebagai perdana menteri Malaysia Ke-8.
.
Pelantikan Muhyiddin Yassin mengisi jawatan PM dilihat cukup penting dalam mendepani cabaran keselamatan era moden ini, iaitu terrorism dan pendemik.
.
Terlalu banyak perubahan besar dunia berkait dua isu besar tersebut berlaku diakhir-akhir pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan terutamanya dengan isu LTTE dan penyebaran covid-19 di Malaysia.
.
Saya tidak mahu bercakap atas dasar politik, akan tetapi lebih membicarakan signifikannya pelantikan Muhyiddin Yassin dari segi keselamatan dan kedaulatan negara.
.
Dengan pengalaman luas beliau dalam pengurusan keselamatan negara termasuk pernah menduduki jawatan menteri di Kementerian Dalam Negeri (KDN), maka dilihat beliau ada agenda besar yang perlu diangkat untuk mendepani ancaman mana-mana pihak samaada secara fizikal, taktikal mahupun secara tersembunyi dan halus seperti perang saraf dan kemasukan elemen subversif lainnya.
.
Pertama, pentadbiran Muhyidin Yassin sebagai menteri KDN ketika bersama kerajaan PH telah membangunkan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) 2019.
.
Dasar ini telah dilancarkan pada 03 Oktober 2019 di KDN Putrajaya atas enam teras utama.
.
Teras 1, Mempertahankan Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang dan Institusi Utama Negara. Teras 2, Meningkatkan Tadbir Urus dan Integriti Agensi Penguatkuasaan Keselamatan. Teras 3, Memperkukuhkan Kawalan Keselamatan Negara. Teras 4, Menjamin Keselamatan dan Ketenteraman Awam. Teras 5, Memerangi Gejala Dadah. Teras 6, Melindungi Aset dan Sasaran Penting Negara. Pelbagai strategi telah dirangka oleh Muhyiddin untuk menjayakan 6 teras tersebut.
.
Maka dipercayai semua agenda ini akan diperkasakan dengan melibatkan semua jentera kerajaan agar keselamatan dan kedaulatan negara terpelihara.
.
Muhyiddin juga melihat tugasnya sebagai PM adalah menjayakan teras pertama iaitu menjunjung perlembagaan dan memartabatkan institusi utama negara iaitu raja berpelembagaan, ia adalah misi yang perlu dilaksanakan tanpa kompromi.
.
Perkara kedua, Muhyiddin dilihat sebagai figur penting yang telah mempertahankan tindakan pihak PDRM dan KDN dalam penangkapan 12 elemen LTTE.
.
Nada Beza PM8

Walaupun Peguam Negara telah memberikan arahan pembebasan kepada tahanan tersebut sehari sebelum krisis politik negara tercetus, tetapi Muhyiddin telah dengan tegasnya mempertahankan tindakan penahanan mereka yang dikategorikan sebagai pengganas yang telah didakwa di bawah Seksyen 130J (1), 130(a) dan 130JB Kanun Keseksaan.
.
Kenyataan akhbar Muhyiddin sebagai menteri KDN pada 21 Feb 2020 dengan jelas menyatakan bahawa LTTE masih dalam senarai daftar pertubuhan pengganas di Malaysia dan seluruh dunia.
.
Walaupun dikecam oleh pihak peguam negara dan suara-suara pimpinan dari PH terutamanya parti DAP, akan tetapi Muhyiddin telah dengan beraninya mempertahankan tindakan KDN dan menempelak pihak peguam negara yang dilihat mencampuri urusan pentadbiran.
.
Saya melihat isu ini telah ditafsir secara khilaf oleh peguam negara yang tidak melihat ancaman LTTE ini secara holistik. Tulisan saya sebelum ini juga telah merungkai lapan plot ganas yang dirancang LTTE di seluruh dunia termasuklah Malaysia.
.
Ketiga, walaupun Muhyiddin berada dalam gabungan PH sejak awal tahun 2018, akan tetapi nada beliau cukup berbeza dengan rakan-rakan politiknya apabila berhadapan dengan isu berkaitan undang-undang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), juga Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota) dan Akta Pencegahan Jenayah (Poca).
.
Muhyiddin sama sekali menolak suara-suara nakal yang mahukan agar Sosma dihapus dan dimansuhkan.
.
Malah Muhyiddin melalui kenyataan beliau bertarikh 8 November 2019, mempertahankan Sosma sebagai alat penting dalam menjamin kestabilan dan keselamatan negara.
.
Bagaimanapun, Muhyiddin melihat pindaan adalah perlu kepada mana-mana peruntukkan dan seksyen berkaitan atas kapasiti keadilan kepada tahanan dan tertuduh berkaitan.
.
Sebagai penganalisis, saya juga melihat bahawa Sosma sebagai undang-undang pencegahan adalah perlu bagi Malaysia, negara yang tidak mempunyai undang-undang pencegahan lebih mudah diresapi dan dihinggapi elemen-elemen subversif termasuklah terrorisme.
.
Akan tetapi pindaan untuk penambahbaikan adalah perlu dan bukannya penghapusan kepada undang-undang yang penting ini.
.
Pembersihan elemen korup

Muhyiddin sebaik sahaja mengangkat sumpah sebagai menteri KDN pada Mei 2018 telah melancarkan polisi KDN di bawah pemerintahannya iaitu Agenda Keselamatan dan Keamanan serta Pekerja Asing.
.
Muhyiddin melihat terlalu banyak ketirisan dan kelompongan yang tercipta di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.
.
Saya percaya, sebagai PM yang tegas, Muhyiddin akan meneruskan aksi pembersihan elemen korup dan ketirisan integriti yang dihadapi oleh kebanyakan penjawat awam yang terlibat dalam pengawalan sempadan negara termasuklah agensi-agensi penguatkuasaan berkaitan.
.
Adalah tidak adil untuk saya membuat generalisasi, akan tetapi kelihatannya banyak masalah berkaitan pekerja asing dan pendatang tanpa izin berpunca apabila kawalan sempadan mudah yang polos dan mudah ditembusi secara fizikal mahupun sogokan.
.
Pastinya keselamatan negara berada dalam paras yang cukup bahaya apabila jumlah pendatang tanpa izin menjadi sangat besar di negara ini.
.
Bukan sekadar terlibat dengan jenayah, malah mereka juga sudah sampai memberikan ancaman kepada keselamatan dan kedaulatan negara.
.
Apabila dilihat semula inisiatif yang telah diambil oleh Muhyiddin ketika menjawat menteri KDN sehingga minggu lepas, maka jelaslah bahawa beliau mempunyai agenda besar untuk memperkasakan keselematan dan kedaulatan negara.
.
Sudah sampai masanya Muhyiddin memperkukuhkan agensi ketenteraan dan kepolisian dalam negara ini.
.
Memang kita tidak mahu berperang, akan tetapi mempunyai sistem pertahanan yang baik adalah keperluan utama bagi sesebuah negara yang berdaulat.
.
Muhyiddin juga boleh mendapatkan satu kumpulan penasihat pakar pelbagai agensi yang mampu mencetuskan idea yang tuntas untuk keselamatan negara ini.
.
Bajet keselamatan harus dinilai semula dan diberi keutamaan. Aset-aset keselamatan perlu diselenggara dan dilengkapkan tanpa kompromi.
.
Jadikan keselamatan sebagai keutamaan dan hapuskan agenda peribadi dan tersembunyi yang boleh menghancurkan dan mengancam keselamatan negara.
.
Keselamatan Malaysia diyakini akan diperkasakan oleh Muhyidin Yassin sebagai perdana menteri Malaysia kelapan.
.
.
Sumber: Malaysia Kini- 04 Mac 2020

.
IKUTI KAMI 👇
.
“ BERSATU MENENTANG KEGANASAN! ”



Comments