[ARTIKEL] MENGATASI TERORISME DAN ISLAMOPHOBIA: SATU KAJIAN TERHADAP NOVEL DEMI ALLAH, AKU JADI TERORIS

[ARTIKEL] MENGATASI TERORISME DAN ISLAMOPHOBIA:  SATU KAJIAN TERHADAP NOVEL DEMI ALLAH, AKU JADI TERORIS

[SIRI 1]: PENDAHULUAN.

SOHAIMI ABDUL AZIZ
SCHOOL OF HUMANITIES, UNIVERSITI SAINS MALAYSIA, 11800 USM PULAU PINANG, MALAYSIA.
 Setelah berakhirnya Perang Dingin antara Blok Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) dengan Blok Komunis yang diketuai oleh Rusia, muncul satu lagi peperangan, iaitu peperangan terhadap terorisme. Peristiwa pengeboman Pusat Dagangan Dunia di New York, AS pada 11 September 2001, telah menjadi titik tolak peperangan terhadap terorisme. Peristiwa 11 September 2001 ini dikatakan angkara pengganas yang didalangi oleh al-Qaeda, iaitu satu organisasi pengganas global (Syed Saleem Shahzad 2011). Semenjak 11 September 2001, terorisme telah menjadi subjek kajian yang popular kerana kejadian-kejadian yang berkaitan dengan terorisme telah berlaku di negara Barat, Timut Tengah dan Asia Tenggara.


Indonesia merupakan sebuah negara di Asia Tenggara yang memiliki kegiatan terorisme, selain Filipina. Pengalaman secara langsung tersebut telah menjadikan novel yang dipilih dari Indonesia ini lebih dekat dengan konteks kajian berkenaan. Di Malaysia, belum ada sebuah novel pun yang membincangkan terorisme secara mendalam seperti novel Demi Allah, Aku Jadi Teroris. Novel Malaysia yang paling hampir dalam memperkatakan terorisme ialah novel yang bertajuk Khilaf (2017) karya Salina Ibrahim. Namun begitu, novel tersebut merupakan sebuah novel remaja yang perbincangannya tentang terorisme tidak mendalam berbanding novel Demi Allah, Aku Jadi Teroris. Tambahan pula, pengalaman tentang terorisme lebih dekat dengan pengarang-pengarang Indonesia berbanding Malaysia. Dengan perkataan lain, pemilihan novel dari Indonesia mempunyai justifikasi yang mantap dari segi latar politik yang berkaitan dengan terorisme berbanding novel dari Malaysia.

Terdapat beberapa kajian yang telah dilakukan terhadap novel Demi Allah, Aku Jadi Teroris, khususnya di Indonesia. Antara kajian tersebut ialah kajian yang dihasilkan oleh Qurrotul Ainiy dan Mantik (2018) yang bertajuk Perempuan, Lakilaki, dan Terorisme dalam Novel Demi Allah, Aku Jadi Teroris. Kajian tersebut membincangkan ketidakadilan gender yang berlaku kepada watak Kemala dalam pergelutannya mengharungi terorisme. Selain itu, hubungan antara terorisme dalam novel ini dengan kejadian terorisme di Indonesia, khususnya di Jakarta, turut dibincangkan. Seterusnya, terdapat satu lagi kajian yang bertajuk The Principle of Courtesy in Novel Demi Allah, Aku Jadi Teroris by Damien Dematra oleh Faleriana, Charline dan Burhanudin (2018). Kajian tersebut membincangkan prinsip-prinsip sopan-santun seperti dermawan, sederhana, simpati dan pujian yang terdapat dalam novel ini.

Namun demikian, kedua-dua kajian berkenaan tidak membincangkan terorisme dan Islam secara tuntas. Terdapat satu tesis sarjana oleh Slamet (2012) yang bertajuk “Perubahan Ideologi Islam Mengenai Terorisme pada Tokoh Utama dalam Novel Demi Allah, Aku Jadi Teroris Karya Damien Dematra: Kajian Psikologi Sastera”. Tesis tersebut menemukan faktor-faktor yang menyebabkan Kemala melakukan terorisme. Faktor-faktor berkenaan ialah trauma masa lalu, indoktrinasi agama dan kejadian rogol.

Tesis berkenaan juga membincangkan perubahan Kemala daripada pengganas kepada muslimah yang beriman dan perubahan ini disebabkan oleh pengajaran yang diterimanya tentang hakikat agama Islam yang sebenar. Sungguhpun tesis tersebut membincangkan terorisme dan Islam, namun perbincangan tesis berkenaan tidak memberi perhatian terhadap konsep jihad dan keganasan mengikut Islam yang sebenar.

Tesis tersebut juga tidak meletakkan watak Kemala dan terorisme dalam konteks yang lebih luas, seperti perkembangan Islamophobia dan hubungannya dengan terorisme global. Kekurangan kajian-kajian lalu terhadap novel ini telah membuka ruang kajian baharu yang lebih luas, mendalam dan kritis. Maka, makalah ini mengetengahkan satu perbincangan dan analisis yang baharu terhadap novel Demi Allah, Aku Jadi Teroris iaitu membincangkan punca berlakunya terorisme, konsep jihad yang sebenar dalam Islam dan kemunculan Islamophobia.


IKUTI KAMI 👇
https://twitter.com/alhaqcentre
https://al-haqcentre.blogspot.com/
https://instagram.com/alhaqcentre

"BERSATU MENENTANG KEGANASAN!

Comments