[ARTIKEL] MENGATASI TERORISME DAN ISLAMOPHOBIA: SATU KAJIAN TERHADAP NOVEL DEMI ALLAH, AKU JADI TERORIS. [SIRI 2]: TERORISME

[ARTIKEL] MENGATASI TERORISME DAN ISLAMOPHOBIA: SATU KAJIAN TERHADAP NOVEL DEMI ALLAH, AKU JADI TERORIS

[SIRI 2]: TERORISME

SOHAIMI ABDUL AZIZ
SCHOOL OF HUMANITIES, UNIVERSITI SAINS MALAYSIA, 11800 USM PULAU PINANG, MALAYSIA.

Terdapat pelbagai pihak cuba mendefinisikan terorisme dan pelbagai tafsiran juga telah dikaitkan dengan kejadian-kejadian keganasan dan dilabelkan sebagai angkara terorisme. Adakah kejadian tersebut benar-benar berkaitan dengan terorisme? Keadaan ini telah menimbulkan perdebatan yang sengit tentang sejauh mana kejadian tersebut benar-benar berkaitan dengan terorisme. Namun begitu, sehingga kini belum ada satu definisi yang dapat diterima oleh semua pihak lantaran wujudnya kepentingan ideologi kumpulan-kumpulan tertentu dalam pentafsiran yang diberikan.

Namun demikian, kekurangan ini dapat diatasi dengan meneliti ciri terorisme. Penelitian ciri terorisme akan membantu kita memahami terorisme dengan cara yang lebih objektif. Berdasarkan ciri terorisme yang ditambah pula dengan pendekatan tertentu, terorisme boleh dikaji dengan lebih sistematik dan meyakinkan. Sebuah novel dari Indonesia telah dipilih untuk kajian ini bagi menunjukkan bahawa karya sastera seperti novel Demi Allah, Aku Jadi Teroris (2009), karya Damien Demantra mampu memperjelas maksud terorisme dan puncanya berdasarkan kerangka konsep dan teori yang berkaitan dengan terorisme.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui Majlis Keselamatan (Security Council) telah mengeluarkan satu laporan pada 2 Disember 2004 tentang terorisme. Laporan tersebut antara lain menyatakan bahawa terorisme telah melanggar Konvensi Geneva (Geneva Convention), iaitu terorisme merupakan suatu jenayah terhadap kemanusiaan (Chandler dan Gunaratna 2007, 203). Pandangan umum Majlis Keselamatan ini diwujudkan dengan tujuan agar PBB melaksanakan undang-undang jenayah antarabangsa terhadap terorisme.

Walaupun begitu, PBB sering keberatan untuk melaksanakan peranan tersebut (Chandler dan Gunaratna 2007, 204). Hal tersebut boleh difahami kerana AS ialah dalang di sebalik PBB dan peperangan terhadap terorisme mempunyai kepentingannya sendiri. Sehubungan itu, masih belum ada satu definisi terorisme yang disepakati oleh semua pihak. Sungguhpun demikian, untuk memahami erti terorisme adalah perlu dan boleh ditemui ciri-ciri terorisme seperti yang ditegaskan oleh Combs (2000, 7):

“ Although it has not been possible yet to create a universally acceptable definition of terrorism, it is both possible and necessary to specify certain features common to the phenomenon. This in turn makes it feasible to create an operational definition of this term” .

Menurut Combs (2000, 15) lagi, terdapat sekurang-kurangnya empat ciri terorisme:
(1) It is an act of violence,
(2) it has a political motive or goal,
(3) it is perpetrated against innocent persons, and
(4) it is staged to be played before an audience whose reaction of fear and terror is the desired result.

Dengan kata lain, terorisme merupakan suatu bentuk keganasan dengan tujuan politik yang menimbulkan ketakutan dan sasaran kegiatan ini ialah orang ramai yang tidak berdosa dan ciri-ciri ini terdapat pada kumpulan pengganas yang terkenal, seperti al-Qaeda. Justeru, terorisme tidak memperlihatkan suatu tindakan yang murni namun lebih kepada kepentingan politik golongan tertentu seperti alQaeda yang mencetuskan fenomena yang menakutkan.


IKUTI KAMI 👇
https://twitter.com/alhaqcentre
https://al-haqcentre.blogspot.com/
https://instagram.com/alhaqcentre

"BERSATU MENENTANG KEGANASAN!"

Comments