[ARTIKEL] MENGATASI TERORISME DAN ISLAMOPHOBIA: SATU KAJIAN TERHADAP NOVEL DEMI ALLAH, AKU JADI TERORIS [SIRI 3]: AL-QAEDA
[SIRI 3]: AL-QAEDA
SOHAIMI ABDUL AZIZ
SCHOOL OF HUMANITIES, UNIVERSITI SAINS MALAYSIA, 11800 USM PULAU PINANG, MALAYSIA.
SOHAIMI ABDUL AZIZ
SCHOOL OF HUMANITIES, UNIVERSITI SAINS MALAYSIA, 11800 USM PULAU PINANG, MALAYSIA.
Serangan terhadap Pusat Dagangan Dunia di New York pada 11 September 2001 telah mencabar maruah AS sebagai satu kuasa dunia. Sebelum itu, terdapat beberapa negara Arab, seperti Iraq dan Libya, cuba membebaskan diri daripada cengkaman AS dan hal ini tidak disenangi oleh kuasa besar dunia tersebut. Risikan AS mendapati bahawa al-Qaeda telah terlibat dalam serangan berkenaan lantas telah dilabelkan oleh AS sebagai pertubuhan pengganas. Lantaran itu, AS telah mengetuai perancangan untuk menghapuskan terorisme yang dicetuskan oleh alQaeda.
.
Al-Qaeda bermula sebagai sebuah kumpulan kecil yang berjuang menentang tentera Rusia yang bertapak di Afghanistan. Pejuang-pejuang tersebut dikenali sebagai mujahidin dan al-Qaeda dianggotai oleh golongan mujahidin. Sebenarnya, kumpulan al-Qaeda yang diketuai Osama bin Laden telah dibiayai dan dilatih oleh negara-negara yang tidak suka akan Rusia, khususnya AS. Setelah mengalahkan Rusia, al-Qaeda bertapak di Afghanistan dan sungguhpun Afghanistan telah berada di bawah penjajahan AS, pengaruh al-Qaeda tidak merosot.
.
Al-Qaeda mula bertindak balas dengan memperluas pengaruhnya secara lebih agresif. Setelah Rusia dikalahkan dan diusir dari Afghanistan pada tahun 1989, al-Qaeda telah menjadi satu kumpulan yang lebih kecil bilangan ahlinya kerana masalah kecederaan atau kematian dalam peperangan tersebut. Sungguhpun demikian, pengaruh al-Qaeda tidak terjejas kerana al-Qaeda mengubah strategi dengan menggunakan pendekatan baharu, iaitu bergerak sebagai satu pergerakan dan bukan kumpulan.
.
Perubahan strategi ini telah membawa kesan yang besar kepada al-Qaeda dan meluaskan lagi pengaruh pergerakan tersebut ke beberapa benua lantas membawa ancaman baharu yang lebih besar kepada dunia. AS yang membantu al-Qaeda sewaktu mengalahkan Rusia telah memburu pergerakan berkenaan (Geltzer 2010; Kepel dan Milelli 2008). Pemburuan tersebut telah menimbulkan pelbagai peristiwa serangan terhadap pengganas, termasuklah yang berlaku di Indonesia. Pengaruh al-Qaeda ini dibincangkan secara tidak langsung dalam novel yang dikaji melalui kegiatan Jemaah Kiai Gadil.
Dengan menggunakan peristiwa 11 September 2001, AS telah melancarkan perang untuk menawan Iraq dan Libya dengan alasan negara-negara tersebut menyokong kegiatan terorisme. Pada masa yang sama, AS terus memburu al-Qaeda dan pengikut pergerakan berkenaan di seluruh dunia. Seperti yang dinyatakan pada waktu tersebut, al-Qaeda bukan lagi sebuah kumpulan tetapi sebuah pergerakan ideologi yang menekankan keperluan untuk umat Islam berjihad. Menurut Chandler dan Gunaratna (2007, 28):
… a hunted al-Qaida has turned to investing in ideological role, using the Internet and the media. As a result of this sustained propaganda, several groups not operationally linked to al-Qaida have taken to following the al-Qaida model.
.
Jihad menjadi perkara pokok dalam perjuangan al-Qaeda. Apakah yang dimaksudkan dengan jihad? Jihad dalam Islam berhubung kait dengan perjuangan yang bersungguh-sungguh di jalan Allah (aljihad fi sabil Allah) serta merupakan jihad ke arah perdamaian namun al-Qaeda meletakkan jihad dalam konteks perjuangan menentang AS dan kepentingannya lantas jihad yang diperjuangkan oleh al-Qaeda ialah jihad yang dikaitkan dengan keganasan.
.
Al-Qaeda telah memberi satu persepsi negatif terhadap jihad. Oleh yang demikian, kajian tentang jihad oleh al-Qaeda memberi perhatian kepada sebab dan konteks jihad berkenaan. Mengikut Faisal (2005, xv):
Studies of al-Qaeda’s jihad tend to focus on its violence, thus bringing together the most divergent intellectual and political opinions into a single narrative seeking to explain the causes and contexts of this violence.
.
Jihad oleh al-Qaeda merupakan jihad yang berasaskan keganasan dan hal demikian memberi dimensi pemahaman yang bertentangan dengan konsep jihad yang sebenar dalam Islam. Jihad dan keganasan yang dibawa oleh al-Qaeda telah menyebabkan jihad itu dihubungkan dengan punca dan konteks keganasan itu terjadi. Misalnya, ada sarjana Islam seperti John Esposito menghubungkan jihad keganasan yang dibawa oleh al-Qaeda dengan politik dan ekonomi (Faisal 2005). Dengan kata lain, jihad yang dibawa oleh al-Qaeda ialah jihad yang berkaitan dengan keganasan dan jihad ini dapat difahami dengan melihat punca dan konteksnya.
.
Jihad menentang AS dan kepentingannya oleh al-Qaeda mempunyai kaitan dengan politik dan menjadi jihad yang global kerana pengaruhnya sangat luas. Ideologi berasaskan jihad yang diamalkan oleh al-Qaeda begitu berpengaruh sehingga kumpulan-kumpulan yang tiada hubungan secara operasional dengan pergerakan tersebut turut mengikut model yang diguna pakai oleh al-Qaeda. Namun begitu, apakah matlamat ideologi ini? Menurut Chandler dan Gunaratna (2007, 158):
.
The overarching ideological goals of al-Qaida, to expel foreign forces from the Islamic caliphate, facilitate the organization of regional and local groups.
.
Pengaruh jihad al-Qaeda telah meluas dengan meliputi negara-negara di Timur Tengah, Afrika dan Asia Tenggara, termasuklah Indonesia dan Filipina. Pengaruh al-Qaeda di Indonesia terjadi selepas tahun 1998 sewaktu iklim demokrasi lebih baik setelah rejim Suharto ditewaskan. Manurut Chandler dan Gunaratna (2007, 33–34):
.
While existing Islamist groups have grown stronger, several new ones have emerged in Indonesia.
.
After democracy returned to Indonesia in 1998, the Islamists are exploiting the political space to grow of the 14,500 Islamic schools, some 200 preach violet jihad and 40 have produced terrorists. Some of the graduates travel to Mindanao, in the Philippines, where terrorist training camps are still active.
.
Ideologi al-Qaeda telah mempengaruhi satu pergerakan di Indonesia yang dikenali sebagai Jemaah Islamiah (Chandler dan Gunaratna 2007, 31). Beberapa kejadian terorisme di Indonesia telah dikaitkan dengan Jemaah tersebut, seperti peristiwa letupan di Pulau Bali pada tahun 2002 dan juga di Jakarta pada tahun 2003 dan 2016. Kejadian pada tahun 2002 melibatkan tiga letupan, dengan salah satu letupan disasarkan berdekatan dengan pejabat Konsulat AS di Bali. Pada tahun 2003, berlaku letupan di Hotel JW Marriot, Jakarta dan pada tahun 2016 pula, pengebom bunuh diri telah meletupkan dirinya di kedai minum Starbuck, Gedung Sarinah, Jakarta.
.
Hal ini dipercayai dilakukan oleh Islamic State of Iraq and Suriah (ISIS) atau Al-Qaeda in Iraq, iaitu satu lagi gerombolan pengganas yang berkaitan dengan al-Qaeda. Sasaran pengganas ini berkaitan dengan AS. Marsda TNI (Pur) Prayitno (2017) telah membincangkan kes-kes yang berkaitan terorisme di Indonesia dengan rinci, khususnya yang berkaitan dengan al-Qaeda dan ISIS.
.
IKUTI KAMI 👇
"BERSATU MENENTANG KEGANASAN!"
Comments
Post a Comment