INDEKS KEGANASAN GLOBAL 2019:
KEMATIAN AKIBAT KEGANASAN BERKURANGAN SEJAK EMPAT TAHUN LALU, NAMUN BILANGAN NEGARA TERJEJAS AKIBAT KEGANASAN MENINGKAT
Menurut Indeks Keganasan Global (GTI) 2019,
kematian akibat keganasan menurun untuk tahun keempat berturut-turut, selepas
memuncak pada tahun 2014. Bilangan kematian kini menurun sebanyak 52 peratus
sejak tahun 2014, jatuh daripada 33,555 kepada 15,952. Indeks Keganasan Global
tahunan, yang kini memasuki tahun ketujuhnya, dibangunkan oleh Institute for
Economics & Peace (IEP) dan menyediakan sumber yang paling komprehensif
mengenai trend pengganas global.
Jumlah kematian menurun sebanyak lebih 15
peratus pada tahun 2018, dengan penurunan terbesar berlaku di Iraq dan Somalia
akibat daripada kekalahan Negara Islam Iraq dan Levant (ISIL) di Iraq serta
serangan udara yang diketuai oleh AS terhadap Al-Shabaab. Penurunan kematian
juga ditunjukkan dalam skor negara, dengan 98 buah negara bertambah baik
berbanding 40 buah negara yang merosot. Ini merupakan bilangan negara yang
tertinggi yang mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya sejak tahun
2004.
Walau bagaimanapun, meskipun GTI mendapati
bahawa intensiti keganasan telah menurun, ia turut menunjukkan bahawa keganasan
masih tersebar luas dan semakin meningkat, dengan 71 buah negara mengalami
sekurang-kurangnya satu kematian. Ini merupakan bilangan kedua tertinggi sejak
permulaan abad ini.
🔴 Bilangan negara yang mencatatkan kematian akibat keganasan
meningkat daripada 67 buah negara kepada 71 buah negara pada tahun 2018.
🔴 Afghanistan mengalami kenaikan terbesar bagi kematian akibat
keganasan, meningkat sebanyak 59 peratus daripada tahun sebelumnya dan kini
berada di bahagian bawah indeks ini.
🔴 Buat pertama kali sejak tahun 2003, Iraq bukanlah negara yang
paling terjejas akibat keganasan.
🔴 Selain Afghanistan hanya tiga negara lain — Nigeria, Mali dan
Mozambique — mencatatkan kenaikan yang tinggi dalam kematian akibat keganasan
pada tahun 2018. Setiap satu daripada negara-negara ini mencatatkan lebih
daripada 100 kematian tambahan.
🔴 Asia Selatan mengalami impak tertinggi akibat keganasan sejak tahun
2002, manakala Amerika Tengah dan wilayah Caribbean mengalami kesan yang paling
rendah.
Steve Killelea, Pengerusi Eksekutif IEP,
menjelaskan tentang dapatan tersebut: "Kajian oleh IEP mendapati bahawa
konflik dan keganasan yang ditaja oleh negeri merupakan punca-punca utama
keganasan. Pada tahun 2018, lebih 95 peratus daripada kematian akibat keganasan
berlaku di negara-negara yang telahpun mengalami konflik. Apabila digabungkan
dengan negara-negara dengan tahap keganasan politik yang tinggi, angka ini
melonjak kepada lebih 99 peratus. Daripada 10 buah negara yang paling terjejas
akibat keganasan*, kesemuanya terlibat sekurang-kurangnya dalam satu konflik
ganas tahun lalu."
Bagi Amerika Utara, Eropah Barat dan
Oceania, ancaman daripada keganasan politik sayap kanan telah meningkat sejak
lima tahun lalu, dengan 19 buah negara terjejas oleh serangan dalam tempoh ini.
Di kawasan-kawasan ini, serangan sayap kanan meningkat sebanyak 320 peratus
antara tahun 2014 dan 2018. Trend ini berterusan sehingga tahun 2019, dengan 77
kematian dikaitkan dengan keganasan sayap kanan dari awal tahun hingga
penghujung September. Tidak seperti keganasan Islamis, tiada seorang pun pelaku
pada tahun 2018 mendakwa sebagai ahli kumpulan pengganas terancang, lalu
menjadikannya sukar untuk organisasi-organisasi keselamatan mencegah serangan
sedemikian.
Peningkatan dalam aktiviti pengganas di
Afghanistan, digandingkan dengan pengurangan secara beransur-ansur konflik di
Syria dan Iraq, mengakibatkan Taliban mengatasi ISIL sebagai kumpulan pengganas
yang paling berbahaya di dunia pada tahun 2018. Bilangan kematian yang
dikaitkan dengan Taliban meningkat hampir 71 peratus, kepada 6,103, dan
menyumbang sebanyak 38 peratus daripada semua kematian di seluruh dunia.
Sebaliknya, kematian yang dikaitkan dengan ISIL menurun di seluruh dunia
sebanyak hampir 70 peratus, menurun daripada 4,350 pada tahun 2017, kepada
1,328 pada tahun 2018.
Walau bagaimanapun, beberapa kumpulan
gabungan ISIL telah mencatatkan peningkatan tahap aktiviti pengganas. Negara
Islam Wilayah Khorasan merupakan kumpulan pengganas keempat paling berbahaya
pada tahun 2018, dengan lebih seribu kematian direkodkan, dengan kebanyakan
daripada kematian ini berlaku di Afghanistan. Secara keseluruhan, terdapat tiga
belas kumpulan atau gerakan yang mana masing-masing membunuh lebih daripada
seratus orang pada tahun 2018.
Terdapat juga peningkatan penyertaan wanita
dalam keganasan, meskipun ia masih menyumbang kepada peratusan yang kecil
daripada semua serangan. Trend ini semakin meningkat sejak lima tahun yang
lalu, dengan bilangan serangan berani mati wanita meningkat sebanyak 450
peratus antara tahun 2013 dan 2018. Sebaliknya, serangan berani mati lelaki
menurun sebanyak 47 peratus dalam tempoh yang sama. Kebanyakan kenaikan ini
boleh dikaitkan dengan Boko Haram, menyumbang sebanyak hampir 80 peratus
daripada semua serangan berani mati wanita sejak lima tahun yang lalu.
Di Eropah, bilangan kematian akibat
keganasan menurun untuk tahun kedua berturut-turut, daripada lebih dua ratus
pada tahun 2017 kepada 62 pada tahun 2018. Hanya dua serangan membunuh lima
orang atau lebih.
En. Killelea menjelaskan: "Kejatuhan
ISIL di Syria dan Iraq ialah salah satu faktor yang membolehkan Eropah Barat
untuk merekodkan bilangan insiden terendahnya sejak tahun 2012, dengan tiada
kematian dikaitkan dengan kumpulan tersebut pada tahun 2018. Walau
bagaimanapun, keadaan masih kekal tidak menentu, dengan sebahagian besar Syria
mengalami perbalahan dan banyak kumpulan lebih kecil yang bersimpati dengan
falsafah ISIL masih aktif, tidak menolak kemungkinan berlakunya serangan
Islamis yang selanjutnya di Eropah."
Kejatuhan keganasan turut disertai oleh
pengurangan dalam impak ekonomi global terhadap keganasan, berkurangan sebanyak
38 peratus kepada US$33 bilion pada tahun 2018. Berbanding bentuk keganasan
yang lain seperti pembunuhan, konflik bersenjata dan perbelanjaan ketenteraan,
keganasan hanyalah peratusan kecil daripada kos keganasan global keseluruhan,
yang bersamaan dengan US$14.1 trilion pada tahun 2018. Namun begitu, impak
ekonomi keganasan yang sebenar mungkin lebih tinggi memandangkan angka-angka
ini tidak menyumbang kepada kesan tidak langsung terhadap perniagaan, pelaburan
dan kos yang berkaitan dengan agensi-agensi keselamatan dalam menangani
keganasan.
Sumber: Institute for Economics & Peace
- 22 Nov 2019
📍https://en.prnasia.com/releases/apac/41629-0.shtml
IKUTI KAMI 👇
https://twitter.com/alhaqcentre
https://al-haqcentre.blogspot.com/
https://instagram.com/alhaqcentre
“ BERSATU MENENTANG KEGANASAN! “
Comments
Post a Comment