PEMBANTU RUMAH DIPENJARA BIAYAI AKTIVITI PENGGANAS


SINGAPURA: Seorang pembantu rumah Indonesia dijatuhkan hukuman penjara dua tahun oleh pihak berkuasa Singapura kerana menyalurkan bantuan demi membantu membiayai aktiviti militan Daesh.

Negara kecil itu adalah kediaman kepada lebih 250,000 pembantu rumah dari Indonesia dan kes membabitkan sikap radikal pembantu rumah semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.

Anindia Afiyantari didapati menyumbang Sg$130 (RM390) kepada aktiviti kebajikan yang didalangi kumpulan Jamaah Ansharul Daulah (JAD), satu pergerakan digambarkan sebagai sangat berbahaya di ASEAN.

Menurut pendakwa, JAD disahkan terbabit dalam beberapa serangan, termasuk kes tikam ke atas ketua keselamatan Presiden Joko Widodo, Wiranto serta letupan bunuh diri di beberapa buah gereja.

“Tertuduh didakwa menghulurkan bantuan kewangan bagi membiayai aktiviti pengganas dan menggugat keharmonian negara ini,” kata pendakwa dalam satu dokumen mahkamah.

Tertuduh yang berusia 33 tahun dan menghasilkan pendapatan berjumlah Sg$600 (RM1,801) sebulan diperkenalkan kepada kumpulan pengganas itu oleh rakan pembantu rumah lain, juga di Singapura.

Selain menyalurkan bantuan untuk aktiviti amal, wanita itu turut memuat naik rakaman video pengeboman dan pembunuhan dilakukan militan Daesh di Facebook, malah mencipta akaun baru apabila hantaran itu disekat.

Daesh menguasai sebahagian besar kawasan di Iraq dan Syria sebelum tewas tahun lalu. – AFP

SUMBER: Berita Harian- 05 March 2020

Follow us:
http://facebook.com/alhaqcentremalaysia  
http://al-haqcentre.blogspot.com
http://instagram.com/alhaqcentre 

"UNITED AGAINST TERRORISM"

Comments