[SIRI 10.1]: MENCEGAH KEGANASAN (COUNTERTERRORISM)

 [ARTIKEL] MENGATASI TERORISME DAN ISLAMOPHOBIA: SATU KAJIAN TERHADAP NOVEL DEMI ALLAH, AKU JADI TERORIS

[SIRI 10.1]: MENCEGAH KEGANASAN (COUNTERTERRORISM)

SOHAIMI ABDUL AZIZ
SCHOOL OF HUMANITIES, UNIVERSITI SAINS MALAYSIA, 11800 USM PULAU PINANG, MALAYSIA.
Novel Demi Allah, Aku Jadi Teroris juga membincangkan usaha mencegah keganasan (counterterrorism), iaitu suatu usaha dan tindakan untuk mengatasi terorisme. Terdapat beberapa strategi untuk mencegah keganasan. Mengikut Crelinsten (2009), pada dasarnya terdapat dua jenis strategi. Kedua-duanya berdasarkan peristiwa 11 September 2001 sewaktu Pusat Dagangan Dunia di New York telah diserang oleh pengganas. Strategi “Selepas 11 September” (September 12 Thinking) merupakan strategi yang berdasarkan ketenteraan. Strategi tersebut berdasarkan konsep war on terror, yakni kekerasan digunakan terhadap pengganas. Menurut Crelinsten (2009, 12):


“September 12 thinking” emphasizes the military approach to counterterrorism, privileging the use force and legitimizing it by changing the legal rules of the game if necessary. 

Penggunaan tentera di Timur Tengah, seperti di Iraq dan Libya oleh AS merupakan satu contoh strategi September 12 Thinking. 

Secara tidak langsung, pengarang novel ini telah membincangkan kedua-dua jenis strategi mencegah keganasan tersebut. Kekerasan digunakan setelah maklumat tempat Jemaah Kiai Gadil beroperasi diperoleh oleh Prakasa daripada Kemala. Prakasa yang bekerja dengan badan pencegahan terorisme telah membentuk satu pasukan penggempur dan menggempur lokasi Jemaah yang dipimpin oleh Kiai Gadil.

Kekerasan terpaksa digunakan oleh pihak berkuasa kerana Jemaah Kias Gadil dilengkapi dengan senjata berat. Mereka memiliki stor senjata yang mengandungi senjata seperti pistol, grenad, beretta, MP5 dan M16. Sungguhpun telah dipujuk untuk menyerah diri oleh pihak berkuasa, Jemaah Kiai Gadil tetap berkeyakinan bahawa mereka berjihad di jalan yang benar. 

Mereka rela mati kerana telah terpengaruh dengan konsep jihad yang sesat tersebut. Jemaah Kiai Gadil diserang dan jemaah tersebut dihapuskan. Pendekatan secara kekerasan ini merupakan satu strategi jangka pendek sahaja berbanding dengan strategi September 10 Thinking.

“September 10 thinking” emphasizes legal approaches to counterterrorism, privileging the rule of law, international cooperation, and understanding the root causes of terrorism. While the military option is considered an indispensable part of the overall counterterrorism arsenal, it is seen as a tool of last resort, whose use must be legitimized and carefully controlled. (Crelinsten 2009, 12)

Strategi September 10 Thinking merupakan strategi memerangi terorisme secara lebih berdiplomasi berbanding dengan penggunaan kuasa tentera. Strategi berkenaan lebih berperikemanusiaan, seperti tindakan berasaskan undangundang, kerjasama antarabangsa dan memberi perhatian kepada punca terorisme. 

Penggunaan kekerasan mengatasi terorisme adalah pilihan terakhir. Strategi September 10 Thinking merupakan strategi jangka panjang. Damien (2009) dalam novel ini telah mengutarakan usaha mencegah keganasan yang mencari punca terorisme. Beliau berpendapat, terorisme yang dilakukan oleh orang Islam berpunca daripada salah faham tentang ajaran Islam yang sebenar. Konsep jihad dalam Islam merujuk kepada jihad yang bukan berasaskan keganasan. 

Islam tidak menggalakkan keganasan sebaliknya menganjurkan kedamaian dan bertolak ansur sesama manusia.

Sebenarnya, Kemala bukan pengikut Jemaah Kiai Gadil yang tegar kerana pada saat kubu Jemaah diserang oleh pihak berkuasa, Kemala memperlihatkan kekesalan terhadap manusia yang berbunuhan sesama sendiri. Namun begitu, jenayah tetap jenayah dan Kemala telah dihukum. Kemala dihukum penjara dan di dalam penjara, kepercayaan beliau yang songsang tentang perkara seperti mati syahid dan jihad telah dibetulkan mengikut landasan Islam yang sebenar. 

Melalui strategi yang lebih berperikemanusiaan ini, pemahaman Kemala Kurnia tentang Islam sebagai agama yang cinta akan kedamaian mula wujud malah beliau telah diberi kesempatan untuk berguru dengan Ustaz Akil dan mempelajari erti jihad yang sebenar, iaitu jihad melawan hawa nafsu. 

Ketika di penjara, Kemala Kurnia telah didedahkan dengan agama Islam sebenar yang menyatakan Islam itu agama yang damai dan benci akan keganasan. Kemala Kurnia mula berpegang kepada al-Quran dalam Surah Al-Anbiya, ayat 107 tentang kedamaian.

IKUTI KAMI 👇
https://twitter.com/alhaqcentre
https://al-haqcentre.blogspot.com/
https://instagram.com/alhaqcentre
.
“ BERSATU MENENTANG KEGANASAN! ”

Comments