[ARTIKEL] MENGATASI TERORISME DAN ISLAMOPHOBIA: SATU KAJIAN TERHADAP NOVEL DEMI ALLAH, AKU JADI TERORIS
[SIRI 10.2]: MENCEGAH KEGANASAN (COUNTERTERRORISM)
SOHAIMI ABDUL AZIZ
SCHOOL OF HUMANITIES, UNIVERSITI SAINS MALAYSIA, 11800 USM PULAU PINANG, MALAYSIA.
Dengan kata lain, strategi mencegah keganasan yang sesuai dan munasabah dalam memerangi terorisme pada pandangan Damien ialah secara berlembut dan pandangan ini sesuai dengan pandangan Islam yang cinta kepada kedamaian dan bukan kekerasan.
.
Dalam konteks pendekatan psikososial yang menekankan punca sesuatu masalah itu terjadi, pendekatan yang lebih lembut ini sangat sesuai untuk mengatasi salah satu sebab Kemala terlibat dengan terorisme iaitu kedangkalannya terhadap maksud jihad yang sebenar.
.
Kemala akhirnya sedar tentang keburukan terorisme setelah beliau mendalami ajaran Islam. Ketika menjalani hukuman penjara, beliau telah diajar oleh seorang ustaz bahawa Islam mementingkan kedamaian.
.
Kemala mula mengerti bahawa Islam itu damai dan memahami konsep jihad yang betul mengikut Islam. Setelah keluar dari penjara, Kemala berkahwin dengan Prakasa yang setia menunggunya dan memperoleh seorang anak.
.
Dalam satu perbincangan dengan anaknya yang sudah berumur hampir empat tahun, Kemala berpesan: “Sekarang kau tirukan apa yang Ibu ucapkan”, Kemala berkata pelan “… wa ma arsalnaka illa rahmatan lil’lamin…” …………….. “Nah … ertinya kami tidak mengutusmu ya Muhammad kecuali sebagai rahmat dan pedamaian untuk sekalian alam”. (Damien 2009, 223).
.
Kanak-kanak tersebut bukan sekadar anak kepada Kemala dan Prakasa namun turut merupakan simbol kepada satu harapan bahawa terorisme boleh diatasi dengan kembali kepada punca terorisme itu sendiri. Punca tersebut adalah pemahaman tentang Islam yang songsang.
.
Harapan baharu ini juga dapat menghapuskan prejudis Islamophobia yang memandang serong kepada Islam dan penganutnya. Umat Islam perlu menjadi seperti kanak-kanak yang didedahkan dengan ajaran Islam yang sebenar yang menyeru kedamaian semenjak awal.
.
Maka, suatu usaha yang terancang dan berkesan wajar dilakukan untuk menjelaskan bahawa terorisme tidak mempunyai kaitan dengan Islam kepada masyarakat Barat. Agama Islam menentang keganasan dan umatnya yang benar-benar beriman cinta akan kedamaian dan bukan keganasan.
.
Harapan untuk mengatasi terorisme dan Islamophobia tetap wujud sekiranya kita kembali kepada punca terorisme itu sendiri.
IKUTI KAMI 👇
https://twitter.com/alhaqcentre
https://al-haqcentre.blogspot.com/
https://instagram.com/alhaqcentre
.
“ BERSATU MENENTANG KEGANASAN! ”
Comments
Post a Comment