[SIRI 11]: KESIMPULAN


[ARTIKEL] MENGATASI TERORISME DAN ISLAMOPHOBIA: SATU KAJIAN TERHADAP NOVEL DEMI ALLAH, AKU JADI TERORIS

[SIRI 11]: KESIMPULAN
SOHAIMI ABDUL AZIZ
SCHOOL OF HUMANITIES, UNIVERSITI SAINS MALAYSIA, 11800 USM PULAU PINANG, MALAYSIA.


Kesimpulannya, terorisme dan Islam menjadi tema penting novel ini. Islam tiada kaitan dengan terorisme. Terorisme yang dilakukan oleh orang Islam disebabkan oleh pemahaman yang silap tentang jihad dan mati syahid. Islam menekankan jihad, bukan jihad untuk mencetuskan keganasan tetapi jihad melawan hawa nafsu bagi mendapatkan satu kehidupan yang damai dan sejahtera serta diredai. 
.
Tindakan Jemaah Kiai Gadil dan Kemala dalam pergerakan terorisme disebabkan mereka terperangkap dengan pemahaman Islam yang songsang. Melalui pendekatan psikososial, permasalahan dalam novel yang dibincangkan oleh pengarang berkenaan jelas dapat difahami dengan baik. 
.
Islam bukan sahaja tidak menyokong bahkan menolak terorisme. Namun begitu, umat Islam dalam golongan cerdik pandai seperti Kemala boleh terlibat dengan terorisme disebabkan jiwa mereka kosong dari segi kerohanian dan emosi. 
.
Kemala mempunyai didikan agama Islam yang sangat minimum dan tidak memahami langsung erti jihad yang sebenar dalam Islam. Tambahan pula, beliau tidak mendapat kasih sayang yang sepenuhnya daripada ayah beliau semenjak kecil dan dirogol pula. 
.
Kedangkalan tentang ajaran Islam dan jihad serta trauma masa lalu telah memerangkap Kemala dalam dunia terorisme. Maka, kekosongan ini mudah diisi dengan ajaran songsang seperti yang dilakukan oleh Jemaah Kiai Gadil. Konsep mati syahid dan jihad telah disesatkan oleh mereka yang berkepentingan politik seperti Jemaah Kiai Gadil. 
.
Ajaran Islam telah disalah tafsir dengan mengaitkan mati syahid dan jihad dengan keganasan. Strategi mencegah keganasan dengan cara kekerasan merupakan satu pendekatan jangka pendek. Pendekatan yang menjurus kepada punca masalah merupakan satu pendekatan jangka panjang dan menjadi pilihan Damien. 
.
Beliau telah kembali kepada punca masalah. Masalah pemahaman Islam yang salah atau sesat dapat dibetulkan seperti yang ditunjukkan menerusi watak Kemala. Islam satu agama yang menegaskan kedamaian dan tidak pernah mengaitkan mati syahid dan jihad dengan kekerasan dan keganasan. 
.
Ungkapan “Demi Allah, aku jadi teroris” yang menjadi tajuk novel ini suatu ironi yang menunjukkan bahawa pengganas yang berpegang pada ungkapan ini merupakan orang Islam yang sesat. 
.
Islam tidak sekali-kali mengizinkan umatnya dan manusia lain untuk menjadi pengganas atau mencetuskan keganasan. Islamophobia juga berpunca daripada salah faham manusia Barat terhadap Islam dan keadaan ini terjadi kerana umat Islam yang sesat itu sendiri telah memberikan gambaran yang salah tentang Islam.
.
.
IKUTI KAMI 👇
https://twitter.com/alhaqcentre
https://al-haqcentre.blogspot.com/
https://instagram.com/alhaqcentre
.
“ BERSATU MENENTANG KEGANASAN! ”

Comments