[SIRI 2]: PROPAGANDA MEDIA DAESH & ANCAMAN MINDA

[ARTIKEL] DAESH ISYTIHAR PERANG TERHADAP MALAYSIA: SATU TINJAUAN AWAL

[SIRI 2]: PROPAGANDA MEDIA DAESH & ANCAMAN MINDA


Penulis: Ahmad Sauffiyan

Perkara yang perlu lebih dirisaukan sekarang adalah kemampuan Daesh dalam merekrut ahli baru dari Malaysia untuk menyertai mereka hanya dengan menggunakan video propaganda dan platform media sosial seperti Facebook dan sebagainya. Berbeza dengan peluru senjata api yang terhad dalam medan pertempuran, video propaganda Daesh adalah ‘peluru minda’ yang mampu bergerak serata dunia dengan membawa mesej-mesej tertentu dan seterusnya menghasut golongan muda, belia atau pun tua untuk menyertai Daesh. 

Sehingga kini, setakat tahun 2014 hingga 2015, Daesh sudah pun menghasilkan lebih 60 video propaganda dan ini tidak termasuk dua buah video Bahasa Melayu dari Unit Katibah Nusantara yang tersebar di media sosial dalam tahun 2016. Pada amnya kandungan video Daesh tertumpu kepada rakaman operasi serangan ke atas pos pengawal, serang hendap, hukuman mati yang mengerikan dan video bermesej lain. Pokoknya, video propaganda Daesh mampu disebarkan dari satu platform media sosial ke satu platform yang lain hanya dalam masa beberapa jam sahaja. Walaupun usaha untuk memadam video propaganda Daesh boleh dilakukan namun ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia boleh dimuatkan semula oleh penyokong Daesh di mana-mana sahaja dalam Malaysia atau pun dunia.

Kejayaan video propaganda Daesh telah menyemarakkan lagi hasrat kumpulan militan Daesh untuk menjadi lebih aktif. Walaupun video-video propaganda ini hanya bermula di sebagai mesej kepada rakyat Amerika Syarikat dan negara bersekutunya, namun hari ini, dengan wujudnya unit-unit kecil kumpulan Daesh seperti Katibah Nusantara di Asia Tenggara yang terdiri dari ahli yang boleh  menggunakan Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia, kandungan video propaganda Daesh telah menjadi lebih fokus kepada mengikut acuan budaya dan pemahaman masyarakat kumpulan sasaran seperti penggunaan Bahasa Melayu dan jurucakap berbangsa Melayu dalam menyampaikan mesej-mesej amaran mereka.     

Menurut Badan Nasional Pencegahan Keganasan Indonesia, seramai 2.7 juta penduduk Indonesia terlibat dalam pelbagai kumpulan pengganas di dunia dimana 1000 orang terlibat secara langsung dalam kumpulan Daesh. DI Malaysia pula, setakat ini, jumlah penyertaan rakyat Malaysia ke dalam kumpulan Daesh di Syria mencecah lebih 60 orang.  Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay pula berkata setakat 2015 sebanyak 500 akaun Facebook kumpulan Daesh berjaya di kesan. 

Dari angka ini kita dapat melihat corak penyertaan rakyat Malaysia ke dalam kumpulan Daesh akan meningkat di masa akan datang dan peningkatan jumlah ahli bermaksud meningkatnya juga tahap ancaman kepada keselamatan negara kita. Di tambah lagi dengan penyebaran video propaganda Daesh dalam versi bahasa Melayu atau pun Bahasa Indonesia, maka tidak mustahil lebih ramai yang akan menyertai kumpulan Daesh dan ini akan memburukkan lagi keadaan. 

Menyertai kumpulan Daesh bukanlah sesuatu yang perlu formaliti seperti perlu menulis borang keahlian dan mendaftar secara rasmi. Sebaliknya untuk menyertai Daesh, seseorang itu hanya perlu membeli tiket kapal terbang ke Turki dan kemudian dibantu oleh ejen-ejen Daesh untuk menyusup masuk ke wilayah Syria melalui jalan tikus . Atau pun mereka hanya perlu duduk di Malaysia, membuka akaun Facebook dan mula menyebarkan maklumat mengenai kumpulan Daesh kepada khalayak Malaysia. 

Ancaman minda melalui video propaganda Daesh adalah satu bentuk ancaman yang tidak boleh dipatahkan dengan senjata api. Kalau dalam konteks perangsaraf media, peperangan ini dikenali sebagai peperangan generasi ke-5 dimana maklumat dalam bentuk video propaganda menjadi senjata utama kumpulan Daesh dalam mempengaruhi lebih ramai rakyat Malaysia. Kewujudan Katibah Nusantara dan kemampuan mereka menghasilkan video propaganda sendiri adalah satu bukti kukuh bagaimana Daesh merancang mengukuhkan cengkaman mereka di Asia Tenggara dan berniat untuk melancarkan operasi keganasan yang berskala kecil tapi konsisten.  

"UNITED AGAINST TERRORISME"

Comments