[ARTIKEL] MENGATASI TERORISME DAN ISLAMOPHOBIA: SATU KAJIAN TERHADAP NOVEL DEMI ALLAH, AKU JADI TERORIS
[SIRI 4]: JIHAD, ISLAM DAN BARAT
SOHAIMI ABDUL AZIZ
SCHOOL OF HUMANITIES, UNIVERSITI SAINS MALAYSIA, 11800 USM PULAU PINANG, MALAYSIA.
Jihad dan Islam merupakan dua istilah
operasional yang digunakan dalam pendekatan psikososial kajian ini.
Persekitaran yang berhubungan dengan kempenkempen terorisme oleh Jemaah Kiai
Gadil mempunyai kaitan dengan psikologi Kemala. Watak wanita tersebut bukan
sahaja mempunyai pemahaman yang dangkal tentang jihad bahkan turut menghadapi
masalah psikologi yang berkaitan dengan ketiadaan kasih sayang seorang ayah
serta kesan trauma akibat dirogol. Dua kesan psikologi tersebut sangat menganggu
Kemala sehingga beliau mencari satu eskapisme dan tanpa disedari terlibat
dengan Jemaah Kiai Gadil yang sedang merekrut pengebom berani mati atas konsep
jihad yang bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar.
Perkataan jihad yang berasal daripada akar
kata jahada bermaksud berusaha bersungguh-sungguh atau berusaha keras. Dalam
pengertian syarak, jihad secara umum bermaksud “berjuang dalam peperangan,
berjuang menentang hawa nafsu, berjuang untuk menegakkan keadilan dan kebenaran
dalam lain-lain perjuangan pada jalan Allah dan meninggikan kalimah Allah”
(Amat 1987, 7). Dengan kata lain, terdapat dua perkara penting tentang jihad
iaitu berdakwah dan berperang dan kedua-dua perkara tersebut berkaitan dengan
usaha mempertahankan syiar Islam. Sehubungan itu, Islam dikaitkan dengan jihad
dan jihad merupakan suatu tindakan yang suci untuk menegakkan Islam.
Walaupun demikian, sejak kebelakangan ini,
jihad telah dikaitkan dengan pergerakan anti-Amerika yang dianggap sebagai
musuh Islam yang utama selepas berakhirnya Perang Dingin dan tumpasnya Rusia di
bumi Afghanistan di tangan tentera AS. Tempat-tempat yang berkaitan dengan
kepentingan AS telah dijadikan sasaran oleh mereka yang menyokong jihad
tersebut. Ekoran itu, keganasan telah dikaitkan dengan golongan pelampau
seperti al-Qaeda. Oleh sebab jihad berkaitan dengan Islam, justeru bagi yang
bukan beragama Islam atau yang tidak faham dengan Islam yang sebenar, Islam
ditanggapi sebagai ancaman kepada keselamatan dan kesejahteraan manusia.
Menurut Noorani (2002, 45):
‘ Many Muslims realize that the word jihad
has become a disturbing term for non-Muslims, who connect it with religious
extremism and indiscriminate violence. Muslims do not look at it that way. For
them the word signifies a positive concept which may be and frequently, is
misinterpreted either by Muslims themselves or by non-Muslims.’
Miller mendapati wujud perbezaan tanggapan
terhadap makna jihad oleh orang bukan Islam dan juga sesetengah orang Islam.
Jihad dianggap sebagai suatu tindakan melampau dan memperjuangkan keganasan dan
seolah-olah suatu fobia bagi mereka. Tanggapan negatif golongan bukan Islam,
khususnya masyarakat Barat terhadap makna jihad telah diperkatakan oleh Abul
A’La al-Maududi (1987, 17) yang antara lain menyatakan bahawa masyarakat Barat
mentafsirkan kata jihad dengan tafsiran yang keliru, iaitu perang dan
pertumpahan darah. Ekoran itu, Islam dan umat Islam ditampilkan dalam posisi
yang salah kerana pemahaman tentang jihad tersebut.
Kesan daripada perkara tersebut, lahirlah
Islamaphobia. Wacana Islamaphobia menganggap Islam sebagai ancaman kepada
kesejahteraan dunia dan manusianya. Dari aspek sejarah, fundamentalisme Islam
dalam kalangan segelintir masyarakat Islam yang menerima Islam sebagai satu
ideologi politik sahaja telah muncul sejak sebelum kewujudan Islamaphobia lagi.
Sebagai satu ideologi politik, fundamentalisme Islam telah mengaitkan jihad
dengan konsep negara Islam (Islamic State) dan menggunakan jihad sebagai alat
untuk mencapainya atau merealisasikannya (Noorani 2002, 68–69). Namun demikian,
apakah yang dimaksudkan dengan negara Islam? Golongan fundamentalisme
menegaskan bahawa negara Islam menggunakan perlembagaan Islam yang jelas
menolak halhal yang berkaitan dengan kemungkaran. Menurut Noorani (2002,
77–78):
‘ Thus a state which does not take interest
in establishing virtue and eradicating vice and in which adultery, drinking,
gambling, obscene literature, indecent films, vulgar song, immoral display of
beauty, promiscuous mingling of men and women. Co-education, etc., flourish
without let or hindrance cannot be called an Islamic State. An Islamic
Constitution must declare the above mentioned objectives as the primary duty of
the state’.
Golongan fundamentalis Islam telah
menyempitkan tujuan sebenar jihad lantas jihad dilihat sebagai suatu usaha
untuk mengeksploit politik bagi menegakkan konsep negara Islam yang berasaskan
undang-undang Islam. Kecenderungan fundamentalisme semakin lemah setelah jihad
diangkat sebagai satu perjuangan yang global. Jihad tidak lagi dilakukan demi
pembentukan negara Islam namun dilaksanakan sebagai satu perjuangan terhadap
negara-negara yang menentang Islam, khususnya negara sekular seperti AS.
Negara Islam seperti Indonesia juga tidak
terkecuali kerana dilihat sebagai tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenar
atau pro-Barat yang terang-terangan menentang Islam. Maka, jihad menjadi satu
pengerakan global di bawah pengaruh individu seperti Ayman al-Zawahri daripada
Muslim Brotherhood dan Osama bin Laden daripada alQaeda. Menurut Faisal (2005,
31), terdapat dua faktor yang menyebabkan jihad menjadi pergerakan global.
Two factors make the jihad into a global
movement: the failure of local struggles and the ability to control a global
landscape of operations by the politics of intentionality. These factors entail
a radical individuation of Islam that is divorced from modes of collective
solidarity and action based on some common history of needs, interests or ideas,
as is the individuation of action in other global movements.
Jihad sebagai satu pergerakan global telah
muncul di beberapa tempat di Indonesia dan juga beberapa bandar utama
negara-negara lain, seperti Nairobi, Dar-es-Salaam, New York dan Washington.
Kumpulan jihad tersebut menentang pemerintah yang dianggap sebagai anti-Islam
atau tidak Islam.
Walaupun jihad menjadi satu perjuangan
global dan tidak berasaskan perjuangan sesebuah negara, namun unsur
fundamentalisme masih berpengaruh, seperti yang berlaku dalam novel Demi Allah,
Aku Jadi Teroris. Pada ketika jihad menjadi perjuangan global dan boleh berlaku
di mana-mana tempat maka jihad tersebut telah menimbulkan ketakutan dalam
kalangan masyarakat dunia. Menerusi pandangan sempit dan kurang tepat tentang
jihad, masyarakat Barat terperangkap dalam satu wacana yang dikenali sebagai
Islamophobia.
IKUTI KAMI 👇
https://twitter.com/alhaqcentre
https://al-haqcentre.blogspot.com/
https://instagram.com/alhaqcentre
“ BERSATU MENENTANG KEGANASAN! “
Comments
Post a Comment