[ARTIKEL] MENGATASI TERORISME DAN
ISLAMOPHOBIA: SATU KAJIAN TERHADAP NOVEL DEMI ALLAH, AKU JADI TERORIS
[SIRI 7]: KEMALA KURNIA PELAKU TERORISME
DAN PERSONALITINYA
SOHAIMI ABDUL AZIZ
SCHOOL OF HUMANITIES, UNIVERSITI SAINS
MALAYSIA, 11800 USM PULAU PINANG, MALAYSIA.
Kemala Kurnia Pelaku Terorisme
Novel Demi Allah, Aku Jadi Teroris banyak
membincangkan pelaku terorisme, iaitu Kemala Kurnia. Mengapakah pelaku
terorisme seperti Kemala Kurnia sanggup meletupkan dirinya dan mengorbankan
mereka yang tidak bersalah? Dengan menggunakan pendekatan psikososial,
persoalan tentang Kemala Kurnia dan penglibatannya dengan terorisme cuba
dijawab. Bagi Bartol (2002, xi), pendekatan psikososial ialah:
…understanding of many levels of events
that influence a person’s live cource – from the individual to the individual’s
family, peers, schools, neighborhoods, community, culture and society as a
whole.
Dengan kata lain, pendekatan psikososial
menegaskan bahawa terorisme bukan sahaja berkaitan dengan pengaruh sosial dan
politik malah psikologi pelaku itu. Maksudnya, pelakuan pengganas dibentuk oleh
personaliti pelaku, proses sosialisasi dan interaksi sosial.
Personaliti Kemala
Kemala Kurnia merupakan anak luar nikah
Madewi dan Wisnu. Madewi meninggal dunia kerana barah otak namun sebelum itu,
Kemala diserahkan kepada Mirasati, teman baik ibunya. Pada satu ketika, Wisnu
cuba memberitahu Kemala Kurnia bahawa beliau ialah ayahnya tetapi tidak ada
kata-kata yang terucap kerana kekangan isteri dan anak-anaknya (Damien 2009,
46). Sebelum meninggal dunia dalam kemalangan, Wisnu telah memberikan sekeping
cek bernilai 500 juta rupiah kepada Mirasati bagi perbelanjaan Kemala.
Sungguhpun wang sebanyak itu mencukupi dari segi keperluan hidup, Kemala
mendapati wujud rahsia antara dirinya dengan bapanya setelah menyedari bahawa
Wisnu merupakan bapanya. Bapa Kemala tidak bersungguh-sungguh menerimanya
sebagai seorang anak kerana kekangan daripada keluarga isteri dan anak-anaknya
yang sah.
Wisnu bimbang hubungannya dengan Kemala akan menimbulkan isu
kekeluargaan dan moral. Sikap bapanya itu telah meninggalkan kesan psikologi yang
mendalam dalam diri Kemala. Kemala dapat merasakan bahawa bapanya tidak ingin
mengetahui hal dirinya secara lebih jelas dan mendalam. Sungguhpun Kemala cuba
menyembunyikan masalah itu daripada timbul dalam pemikiran sedarnya, namun
Mirasati dapat membaca tekanan tersebut berdasarkan bahasa badannya. Kemala
sendiri turut menyatakan perasaan yang bergolak dalam dirinya:
Ayahku tidak ingin aku mengetahui
tentangnya lebih banyak. Kurasa, aku juga tidak akan mengungkitnya lagi.
(Damien 2009, 56)
Kemala berasa terkilan dengan sikap Wisnu
yang menjauhkan diri daripadanya dan kecewa dengan hal yang terjadi. Kekecewaan
itu cuba disembunyikan oleh Kemala dan tekanan ini telah menyebabkan Kemala
menutup dirinya daripada orang lain. Cinta Kemala kepada bapanya tidak dapat
diluahkan sebaliknya membeku dan mengganggu dirinya. Terdapat kekosongan yang
besar dalam diri Kemala dan kekosongan ini cuba ditutupinya. Hal ini diakui
oleh Mirasati:
Sudah bertahun-tahun merawat dan memelihara
Kemala, namun segelintir perasaan dalam dada Mirasati selalu merasa bahwa
Kemala tidak pernah benar-benar terbuka padanya. Ada sebagian dalam diri Kemala
yang ditutupnya dan tidak ada seorang pun dapat menyentuh bagian itu … dan
Mirasati yakin, Kemala pun tidak pernah menyentuh bagian itu; sebuah lubang
luka yang menganga lebar dalam hatinya namun tertimbun cinta dan kebahagian
yang ditumpukan Mirasati. (Damien 2009, 54)
Damien dengan terang menjelaskan pergolakan
jiwa yang sedang dilalui oleh Kemala. Damien memberitahu pembaca berkenaan masalah
psikologi yang sedang dialami oleh Kemala sungguhpun beliau mendapat kasih
sayang dan perhatian yang sepenuhnya daripada ibu angkat beliau, Mirasati. Wang
yang diamanahkan oleh Wisnu kepada Mirasati bagi digunakan untuk kesejahteraan
Kemala telah digunakan dengan baik oleh Mirasati dalam menjaga Kemala. Namun
begitu, Mirasati mendapati wujud kesepian jauh dalam hati Kemala.
IKUTI KAMI 👇
https://twitter.com/alhaqcentre
https://al-haqcentre.blogspot.com/
https://instagram.com/alhaqcentre
“ BERSATU MENENTANG KEGANASAN! “
Comments
Post a Comment