[ARTIKEL] MENGATASI TERORISME DAN ISLAMOPHOBIA: SATU KAJIAN TERHADAP NOVEL DEMI ALLAH, AKU JADI TERORIS
[SIRI 8]: SOSIALISASI, INTERAKSI SOSIAL DAN BERAGAMA
SOHAIMI ABDUL AZIZ
SCHOOL OF HUMANITIES, UNIVERSITI SAINS MALAYSIA, 11800 USM PULAU PINANG, MALAYSIA.
Islam merupakan agama
yang mementingkan keamanan dan benci akan keganasan. Namun begitu, pemahaman
yang silap terhadap ajaran Islam telah menyebabkan umatnya berada dalam
kebatilan dan membuat angkara di bumi dan terhadap penghuninya. Terdapat banyak
sebab yang membuatkan seseorang Islam itu terjebak dengan ajaran Islam yang
songsang. Antara sebab-sebab tersebut adalah masalah psikologi dan pemahaman
Islam yang dangkal. Terdapat juga umat Islam yang mengambil kesempatan terhadap
kelemahan orang Islam yang lain demi mengejar cita-cita yang terpesong daripada
ajaran Islam dan memenuhi hawa nafsu kuasa politik yang keliru.
Ketika berada di
universiti kerana mengikuti program kedoktoran, kesepian dan kekosongan dalam
diri Kemala semakin terasa sungguhpun beliau dikelilingi oleh kawan-kawan
sekuliah. Sungguhpun Kemala dan teman-temannya merupakan golongan berpelajaran,
namun rohani mereka kosong. Sosialisasi dan interaksi sosial merupakan satu
manifestasi hubungan horizontal manusia namun manusia memerlukan satu lagi
bentuk hubungan, iaitu hubungan vertikal yang bersifat kerohanian. Melalui
hubungan vertikal ini, manusia dapat memenuhi kekosongan rohani seperti yang
diperlukan oleh Kemala dan teman-teman sekuliahnya. Beragama merupakan
manifestasi hubungan vertikal tersebut dan Kemala merasakan dirinya perlu
mencari dan mendalami ilmu agama Islamnya yang masih cetek.
Kemala dan beberapa
orang teman kemudiannya memasuki kelas-kelas agama kelolaan Ustaz Amir kerana
mereka merasakan wujud kekosongan dalam jiwa yang perlu diisi. Kekosongan jiwa
ini menyebabkan mereka dilanda kesepian. Selain itu, belajar untuk menjadi
seorang doktor bukan segala-galanya. Terdapat sesuatu yang kurang, iaitu
membajai jiwa yang kosong dengan mengenal diri dan Tuhan yang mencipta mereka.
Maka, bergurulah mereka dengan seorang ustaz yang dipercayai dapat membimbing
mereka untuk memenuhi kekosongan jiwa tersebut. Mereka mengikuti kelas agama
yang dikelolakan oleh Ustaz Amir yang merupakan salah seorang kader bagi satu
kumpulan pengganas yang dikenali sebagai Jemaah yang diketuai oleh Kiai Gadil.
Jemaah Kiai Gadil ini memperjuangkan sebuah negara Islam yang kononnya lebih baik
daripada kerajaan yang ada. Bagi mencapai tujuan tersebut, Kiai Gadil dan
pengikut-pengikutnya telah mempergunakan Islam mengikut kefahaman mereka.
Melalui kelas agama
ini, Kemala diperkenalkan dengan maksud Islam, iaitu Islam ialah satu agama
yang selamat. Namun begitu, mengikut Ustaz Amir, negara yang mereka diami tidak
selamat kerana terdapat pelbagai kegiatan mungkar, seperti pembuangan bayi,
pembunuhan, penculikan dan penganiayaan (Damien 2009, 77). Di sini, Ustaz Amir
telah memesongkan pengertian Islam sebagai agama yang selamat. Selamat di sini
bermaksud Islam sebagai satu agama yang suka akan kehidupan yang selamat dan
sejahtera. Segala kebobrokan perlu diatasi secara bijaksana dan bukan melarikan
diri kepada sesuatu yang mudah diucapkan, iaitu syurga. Seterusnya, Ustaz Amir
menggunakan ayat al-Quran (Surah Muhammad, ayat 15) yang menjelaskan syurga
adalah untuk mereka yang bertakwa. Beliau menghuraikan keadaan syurga yang
dikatakan penuh dengan kebahagiaan secara terperinci.
Kemala disarankan agar
berhijrah ke sebuah negara Islam yang mengamalkan syariat Islam sepenuhnya.
Pengaruh fundamentalisme Islam kepada Jemaah didapati berlaku di sini. Konsep
hijrah oleh Ustaz Amir merupakan konsep hijrah yang sempit dan bermotifkan
politik. Mereka yang menentang konsep negara Islam dianggap sebagai kafir dan
perlu dihapuskan. Konsep hijrah yang dituntut oleh Islam ialah hijrah ke arah
kebaikan, bukan kemusnahan seperti membunuh orang yang tidak berdosa. Ustaz
Amir telah memainkan sentimen agama untuk membakar semangat Kemala dan
teman-temannya bagi tujuan yang salah. Syarahan Ustaz Amir merupakan peringkat
pertama proses indoktrinasi dengan ideologi al-Qaeda yang dilalui oleh Kemala.
Beliau telah diajarkan tentang syurga dan pengorbanan serta menegakkan sebuah
negara Islam yang mengamalkan syariat Islam sepenuhnya dan mereka yang bukan
Islam perlu dihapuskan, seperti yang diperjuangkan oleh al-Qaeda.
IKUTI KAMI 👇
https://twitter.com/alhaqcentre
https://al-haqcentre.blogspot.com/
https://instagram.com/alhaqcentre
“ BERSATU MENENTANG
KEGANASAN! “
Comments
Post a Comment