[ARTIKEL] MENGATASI TERORISME DAN ISLAMOPHOBIA: SATU KAJIAN TERHADAP NOVEL DEMI ALLAH, AKU JADI TERORIS
[SIRI 9]: SOSIALISASI, INTERAKSI SOSIAL DAN BERAGAMA
SOHAIMI ABDUL AZIZ
SCHOOL OF HUMANITIES, UNIVERSITI SAINS MALAYSIA, 11800 USM PULAU PINANG, MALAYSIA.
Demi menguatkan azam
untuk berkorban dan memperoleh satu kehidupan berteraskan syariat Islam
sepenuhnya, Kemala dan teman-temannya, iaitu Rafa dan Purbani telah mengangkat
sumpah taat setia atau baiah kepada pemimpin jemaah yang diikuti. Sebagai
anggota Jemaah yang sah, mereka diminta untuk taat setia dan berkorban.
Sekiranya mereka melanggar baiah tersebut maka mereka akan dihukum oleh Allah
berlandaskan ayat al-Quran yang dibacakan, iaitu Surah An-Nissa, ayat 59
(Damien 2009, 109). Selepas baiah tersebut, dengan tiba-tiba Kemala dan
teman-temannya merasakan suatu kelainan, iaitu mereka berasa lebih tinggi dan
mulia berbanding dengan orang lain.
Kemala telah direkrut
oleh Jemaah Kiai Gadil untuk menjadi pejuang mereka. Konsep pengorbanan yang
diajarkan kepada Kemala oleh Ustaz Amir berbeza dengan konsep pengorbanan yang
disampaikan oleh arwah ibu angkatnya, Mirasati. Arwah ibu angkatnya pernah
membincangkan perihal pengorbanan namun dalam konteks yang berbeza. Sebelum
meninggal dunia, Mirasati sempat berpesan kepada Kemala bahawa kehidupan di
dunia hanya sementara tetapi kehidupan di akhirat lebih penting. Maka,
pengorbanan di dunia tiada ertinya berbanding dengan pengorbanan di akhirat
(Damien 2009, 103). Mirasati tidak mengaitkan pengorbanan di dunia dengan
keganasan seperti yang ditekankan oleh Jemaah Kiai Gadil. Malangnya, Kemala
tidak dapat membezakan dua konsep pengorbanan ini. Hal demikian menyebabkan
Kemala terjebak dalam ajaran Islam yang songsang sehingga membawanya ke dunia
terorisme.
Tekanan psikologi yang
dialami oleh Kemala memuncak apabila beliau diperkosa oleh Hamal yang
membawanya ke markas Jemaah yang diikutinya. Peristiwa hitam ini telah
memberikan kesan yang sangat besar kepada diri Kemala. Peristiwa hitam tersebut
juga semakin menambahkan lagi kekosongan hatinya yang kemudian diisi pula
dengan suatu kekecewaan yang sangat besar. Beliau kecewa dengan lelaki dan
kecewa dengan dirinya yang kehilangan keperawanannya, yang juga maruahnya.
Kemala telah menjadi mangsa
rogol ahli Jemaah Kiai Gadil dan peristiwa ini menunjukkan Jemaah Kiai Gadil
bukan sebuah Jemaah Islamiah yang benar-benar mengamalkan ajaran Islam yang
sebenar. Islam mempertahankan kehormatan wanita. Islam meletakkan wanita di
tempat yang tinggi dan bukan sebagai barangan untuk memuaskan nafsu seks
lelaki, lebih-lebih lagi lelaki yang memperkatakan hal perjuangan Islam.
Kumpulan Jemaah Kiai Gadil berpesanpesan tentang Islam tetapi sebenarnya
memberikan gambaran yang negatif kepada masyarakat antarabangsa dan mereka
sebenarnya telah menyumbang sesuatu kepada kewujudan Islamophobia.
Setelah dirinya
diperkosa, Kemala beranggapan bahawa dirinya tidak lagi punya harga diri kerana
maruahnya telah diragut. Namun begitu, dengan fahamannya tentang pengorbanan
yang ditekankan oleh Ustaz Amir, Kemala percaya beliau masih ada peluang untuk
menebus harga dirinya kembali sekurang-kurangnya di sisi Allah dengan melakukan
pengorbanan. Maka, Kemala mengambil keputusan untuk menerima permintaan Kiai
Gadil supaya bersedia untuk mengorbankan dirinya dengan melakukan jihad.
Justeru, jihad yang difahami oleh Kemala bukanlah merupakan jihad sebenar
seperti yang disarankan dalam Islam. Kemala bersedia untuk berjihad secara
songsang dengan memerangi sesiapa sahaja yang menghalang rancangan kumpulan
Jemaah Kiai Gadil.
IKUTI KAMI 👇
https://twitter.com/alhaqcentre
https://al-haqcentre.blogspot.com/
https://instagram.com/alhaqcentre
.
“ BERSATU MENENTANG KEGANASAN! ”
Comments
Post a Comment