[ARTIKEL] MENGATASI TERORISME DAN ISLAMOPHOBIA: SATU KAJIAN TERHADAP NOVEL DEMI ALLAH, AKU JADI TERORIS
SOHAIMI ABDUL AZIZ
SCHOOL OF HUMANITIES, UNIVERSITI SAINS MALAYSIA, 11800 USM PULAU PINANG, MALAYSIA.
Kemala menghadiri siri-siri ceramah dengan misi terorisme serta mendapat bimbingan khas daripada Ustaz Ziki. Dalam siri ceramah yang dihadiri, Kemala diperingatkan berkali-kali supaya memerangi mereka yang tidak beriman kepada Allah. Proses merekrut dan indoktrinasi diperkuat dengan penyediaan bahanbahan bacaan yang sesuai kepada Kemala.
Bahan bacaan tersebut serta nasihat daripada pemimpin Jemaah Kiai Gadil semakin menguatkan keyakinannya tentang perjuangan jemaahnya.
Pemikiran tersebut mengarah kepada sebuah kefahaman. Rasa benci akan dirinya mula beransur-ansur hilang, sebaliknya satu peribadi yang baharu telah terbentuk setelah Kemala menghadiri kelas-kelas tarbiyah di kem latihan yang diadakan khas untuk membentuk fahaman terorisme.
Selain membaca dan menghadiri ceramah, Kemala juga dipertontonkan filem-filem peperangan antara Islam dan bukan Islam, seperti peperangan di Afghanistan dan Iraq. Kemala terpengaruh dengan filem-filem yang ditayangkan.
Semua ceramah dan siri tontonan filem yang berkaitan dengan keganasan dan kekejaman terhadap orang Islam di negara-negara seperti Palestin dan Afghanistan telah dieksploit dengan bersandarkan ajaran Islam yang kononnya meminta pembelaan terhadap umat Islam dilakukan dengan keganasan juga.
Islam telah disalahgunakan oleh Jemaah Kiai Gadil untuk meracuni fikiran dan jiwa mereka yang jahil tentang jihad dalam ajaran Islam yang sebenar, seperti Kemala. Jemaah Kiai Gadil membenarkan golongan yang tidak berdosa dijadikan sasaran untuk dibunuh, seperti yang akan dilakukan oleh Kemala terhadap pengunjung pusat hiburan Bistro Americana.
Kiai Gadil sendiri seolah-olah telah membuat generalisasi bahawa semua orang Barat itu anti-Islam dan perlu dihapuskan di mana-mana mereka berada. Mereka yang sanggup memerangi orang Barat dan mati akan dianggap sebagai mati syahid. Konsep mati syahid ini diterima oleh mereka yang dangkal ilmu Islamnya seperti Kemala.
Konsep mati syahid dan jihad yang difahaminya dengan yakin telah menyebabkan beliau tidak sabar untuk melaksanakan tugasan tersebut. Setelah Kiai Gadil dan orang-orangnya berpuas hati tentang keyakinan Kemala terhadap perjuangan mereka maka Kemala telah diberi tugas untuk mengebom pusat hiburan Bistro Americana. Pengebom bunuh diri seperti Kemala muncul daripada persekitaran psikologi, sosial dan politik yang berhubungan.
Masalah psikologi dan rohani yang dialami oleh Kemala telah dieksploit sepenuhnya oleh Jemaah Kiai Gadil dengan beberapa strategi indoktrinasi, seperti penggunaan media dan Jemaah tersebut berjaya menyerapkan ideologi terorismenya.
Konsep mati syahid dan jihad yang songsang telah digunakan dengan berkesan terhadap Kemala sehingga beliau bersetuju melakukan keganasan. Kemala dipersiapkan untuk menjadi pengganas oleh Jemaah Kiai Gadil dan menjalankan tugas sebagai pengebom berani mati. Namun demikian, pengarang novel ini telah mencipta seorang lelaki yang bernama Prakasa yang datang dan menyelamatkan Kemala daripada meletupkan dirinya di pusat hiburan Bistro Americana berkenaan.
Dengan kata lain, terorisme tidak menjadi dalam novel ini namun persoalan-persoalan yang berkaitan dengan terorisme dibincangkan dengan mendalam dan isu terbabit lebih penting daripada memaparkan keganasan tersebut. Tambahan pula, Islam tidak mengizinkan sebarang keganasan.
IKUTI KAMI 👇
.
“ BERSATU MENENTANG KEGANASAN! ”
Comments
Post a Comment