DUA NIKMAT YANG DILUPAKAN: NIKMAT SIHAT DAN NIKMAT MASA LAPANG



Pada saat ini berapa ramai saudara kita yang sedang diuji dengan kesakitan, sedangkan kita masih dikurniakan kesihatan yang baik. Berapa ramai sahabat kita yang dihambat kesibukan dengan urusan dunia, tetapi kita masih ada masa yang terluang. Adakah kita menyedari nikmat yang Allah berikan sepanjang kehidupan ini? Bagaimana pula kita menghargai dan memanfaatkannya? Sesungguhnya kita tidak mampu untuk menghitung nikmat yang Allah berikan kepada kita seperti kesihatan tubuh badan, kewarasan fikiran, ketenangan dan keamanan, harta kekayaan, pangkat dan kedudukan, zuriat keturunan, ilmu pengetahuan, hasil tanaman, binatang ternakan dan pastinya nikmat yang terbesar dan teragung ialah nikmat Islam dan Iman.

Apakah nikmat yang sering melekakan malah dilupakan oleh manusia? Hadis daripada Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Ada dua jenis nikmat yang banyak melekakan manusia, iaitu nikmat sihat dan masa lapang”. (Riwayat al-Bukhari).

Nikmat sihat dan masa lapang berkait antara satu sama lain. Ramai manusia yang tertipu dan terpedaya dengan kedua-dua nikmat tersebut. Seseorang yang sihat bertenaga belum tentu mempunyai masa lapang kerana disibukkan dengan urusan dunia sehingga terlupa bekalan untuk akhirat. Begitu juga seseorang yang mempunyai masa, memiliki harta, tetapi tidak mampu berbuat apa-apa kerana telah tidak bertenaga. Nikmat sihat yang diberi, perlulah disyukuri dan dijaga dengan baik supaya kita boleh terus beribadah. Kita dituntut mengamalkan gaya hidup secara sihat sebagaimana yang ditonjolkan oleh Baginda Rasulullah saw. Kita hendaklah mencegah segala bentuk penyakit yang berpunca daripada pemakanan, persekitaran, emosi serta tidak mencampakkan diri dalam kebinasaan seperti ketagihan merokok dan vape, ketagihan arak, penyalahgunaan dadah dan ketagihan amalan seks bebas.

Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

FOLLOW US:
http://facebook.com/alhaqcentremalaysia
http://al-haqcentre.blogspot.com
http://instagram.com/alhaqcentre

"BERSATU MENENTANG KEGANASAN"



Comments