HIJRAH KE ARAH MENCARI REDHA ALLAH MEMBAWA KEJAYAAN



Bermula dari hijrah Rasulullah SAW, maka lakaran kejayaan menyaksikan tertubuhnya kerajaan Madinah yang dipimpin oleh Rasulullah SAW yang kemudian dicorakkan mengikut Hadyu Ilahi dan Nabawi. Maka jadilah ia sebuah negeri yang penuh dengan keamanan, kesejahteraan dan keharmonian. Legasi kejayaan ini kemudiannya diteruskan lagi oleh generasi para sahabat yang terbilang.
Firman Allah SWT dalam surah an-nisa, ayat 100;
Maksudnya: Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur.
Syeikh al-Maraghi berkata: Barangsiapa berhijrah di jalan Allah SWT, iaitu dengan tujuan mencari keredaan-Nya dan untuk menegakkan agamanya sesuai dengan kewajipan bagi dirinya selaras dengan jalan yang dicintai oleh Allah SWT, nescaya akan memperoleh tempat yang memberinya kelepasan di muka bumi ini. Jika mereka yang tadinya berasa tertindas, mereka akan mendapat tempat perlindungan sehingga mereka memperoleh kebaikan dan rezeki yang banyak di samping terselamat daripada penindasan dan kehinaan.
Berdasarkan kepada nas di atas jelas menunjukkan hijrah mempunyai kedudukan yang mulia dan istimewa dalam Islam. Meneliti sejarah hijrah, terlalu ramai para Rasul melakukan hijrah seperti Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS dan lain-lain. Betapa hebatnya hijrah sehingga Allah menjanjikan dengan syurga berdasarkan nas yang banyak sama ada daripada al-Quran dan Sunnah. Selain itu juga, ia menggambarkan kehebatan dan kekuatan umat Islam yang melaksanakan hijrah.

Justeru sewajarnya umat Islam memahami erti hijrah dengan lebih luas. Di zaman ini penekanan perlu diberikan untuk berhijrah daripada keburukan kepada kebaikan dan daripada kegelapan pemahaman Islam kepada pemahaman Islam yg lebih baik beserta amalan yg lebih sempurna. Mudah-mudahan dengan itu kita dapat menghijrahkan diri kita dalam usaha untuk menggapai keredhaan Allah.

Sumber: Bayan Linnas Siri ke-212

IKUTI KAMI 👇🏽
http://al-haqcentre.blogspot.com
https://twitter.com/alhaqcentre
https://instagram.com/alhaqcentre



Comments