ISLAM ITU MUDAH JANGAN DIPERSULITKAN

Islam adalah agama yang sesuai dengan fitrah manusia.  Allah menurunkan agama Islam di mana seluruh ajarannya sesuai dengan kemampuan umat manusia untuk melaksanakannya. Oleh itu, Islam itu mudah dan bukan mempersulitkan urusan manusia dalam menjalani kehidupan harian mereka. Baginda Rasulullah SAW bersabda:-

Dari Abu Hurairah Radhiallahu anhu (RA) dari Rasulullah SAW, beliau bersabda, 

“Sesungguhnya agama ini mudah. Tidak ada seorang pun yang mempersulit agama melainkan dia akan dikalahkannya. Maka luruslah dalam beramal, dekatilah (tingkat kesempurnaan), dan bergembiralah, dan mintalah pertolongan kepada Allâh Azza wa Jalla pada pagi, petang, dan akhir malam.” Pada lafazh lain disebutkan, “…Berlaku sederhanalah (tidak berlebihan), berlaku sederhanalah, niscaya kalian akan sampai (pada tujuan).”
(Hadis riwayat Al-Bukhari no. 39, An-Nasa’i no. VIII/122, Al-Baihaqi no. III/18.

Hadis ini membawa maksud bahawa agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah agama yang mudah untuk dikerjakan dan bukannya menyusahkan umatnya. Oleh itu agama Islam bukan satu agama yang terlalu berlebih-lebihan dan melampaui batas kemampuan manusia untuk melakukan atau mengamalkannya. Melampaui batas dalam tindakan bukanlah ajaran Islam. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud:-

“…Allah menghendaki kemudahan bagi kamu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu…” 

Sementara itu Allah SWT juga berfirman dalam surah al-Maidah ayat 6 yang bermaksud:- 

“…..Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.”

Comments