ISLAM MENGANJURKAN GAYA HIDUP SIHAT DAN AMALAN KEBERSIHAN BAGI MENGHINDAR PENYAKIT



Mutakhir ini, negara kita dilanda dengan penularan Corona Virus. Ini sangat membimbangkan, apatah lagi sebahagiannya mendatangkan kemudaratan yang dahsyat sehingga membawa kepada kematian sekiranya tidak dicegah dari awal. Dalam hal ini, Islam sebagai agama rahmah telah memperkenalkan konsep pencegahan penyakit. Imam al-Bukhari r.h telah meriwayatkan hadith daripada Sa’ad bin Abi Waqqas RA, bahawa Nabi SAW telah bersabda:

Bermaksud: “Sesiapa yang memakan tujuh biji tamar ‘Ajwah pada waktu pagi, nescaya dengan demikian, dia tidak akan dimudaratkan pada hari itu oleh racun dan sihir.”

Hadith tersebut mengandungi prinsip penting dalam pencegahan penyakit yang kita kenali pada hari ini sebagai imunisasi. Dalam menghadapi berbagai jenis penyakit khususnya penyakit berjangkit, perkembangan teknologi dalam perubatan moden menjadikan manusia mampu untuk menghindari penyakit-penyakit tersebut.

Islam menganjurkan agar umatnya menjalani kehidupan yang baik melalui pengamalan gaya hidup sihat, pengambilan makanan yang berkhasiat dan seimbang serta penjagaan kebersihan diri dan persekitaran. Islam juga menganjurkan umatnya agar berikhtiar mendapatkan rawatan apabila ditimpa penyakit. Imam Muslim r.a telah meriwayatkan hadith daripada Jabir bin Abdillah r.a, bahawa Nabi SAW telah bersabda:

Maksudnya: “Setiap penyakit itu ada penawarnya. Maka apabila sesuatu ubat itu sesuai dengan penyakit, sembuhlah ia dengan izin Allah ‘azza wa jalla.”

Menurut Imam al-Nawawi r.a, hadith ini mengandungi isyarat bahawa sunat bagi seseorang itu mencari ubat yang bersesuaian bagi merawat penyakitnya. Ini kerana penyakit tidak akan sembuh selagi ubat dan cara rawatannya tidak bersesuaian. Perkara ini secara tidak langsung merupakan suatu tuntutan kepada umat Islam untuk sentiasa membangunkan kajian dan penyelidikan dalam bidang perubatan.

Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)



Comments