ISLAM bukan hak milik eksklusif mana-mana kaum, meskipun Melayu, India, Cina dan lebih-lebih lagi Arab. Islam itu diturunkan oleh Allah kepada RasulNya untuk seluruh umat manusia.
Oleh itu, pemahaman Islam itu bukan hanya mengikut pemahaman satu-satu kumpulan sahaja. Pemahaman ajaran al-Quran dan as-Sunnah mestilah berdasarkan tafsir dan pemahaman Islam yang benar mengikut ulama yang muktabar yang telah diakui kesahihannya oleh seluruh ulama Islam.
Pendekatan pengajaran untuk memahamkan Islam menyebabkan Islam menjadi eksklusif (berdasarkan tafsiran dan pemahaman kumpulan mereka sahaja) adalah tidak benar.
Sementara itu mereka menganggap orang lain selain mereka hanyalah manusia yang terpaksa “bertaklid buta” disebabkan kononnya tidak mampu untuk memahami hal ehwal agama kerana akal mereka tidak kesampaian dan ia sebenarnya telah melanggar garis panduan Nabi Muhammad SAW.
Hal ini berbeza dengan arahan baginda Rasululah SAW yang bermaksud:-
“Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka”.
(Riwayat al-Bukhari).
(Riwayat al-Bukhari).
“Taklid” seperti inilah yang menyebabkan ilmu umat Islam tidak berkembang. Pandangan tokoh yang dianggap ulama dalam kumpulan mereka akhirnya dianggap setaraf dengan nas al-Quran dan Sunnah.
Terdapat sesetengah kumpulan agama yang cuba mewujudkan mentaliti ‘ustaz atau tok guru tak boleh dipersoalkan’ hanyalah untuk menjaga status keselesaan dan menegakkan hujah kumpulan mereka semata-mata.
Apabila terdapat pandangan yang berbeza dengan tokoh-tokoh agama kumpulan tersebut, bukan bererti kita disuruh bersikap biadap atau tidak menghormati mereka.
Memberikan pandangan dan mempersoalkan sesuatu kenyataan dengan sopan dan bertujuan mencari kebenaran adalah keperluan dunia ilmu dan sesuatu yang dituntut dalam agama. Hal ini penting untuk difahami. Bukan semua pendapat tokoh agama itu mewakili kehendak Allah SWT dan RasulNya.
Sumber: Buku Mempelajari Islam Bukan Hak Eksklusif Umat Islam.
FOLLOW US:
"BERSATU MENENTANG KEGANASAN"
Comments
Post a Comment