2. UMAT ISLAM WAJIB BERBAI'AH KEPADA PEMIMPIN ISIS SEBAGAI KHALIFAH ISLAM.
Umat Islam harus sedar, apa yang menjustifikasikan umat Islam untuk membai’ah Abu Bakar al Baghdadi? Apakah kerana dia seorang khalifah? Umat Islam harus sedar bahawa dia melantik dirinya sendiri sebagai Khalifah. Apa pula yang anda fahami tentang khilafah? Khilafah menurut bahasa bererti: menggantikan atau menepati tempatnya.
Dalam kitab Mu’jam Maqayis Al Lughah (II/210) dinyatakan, khilafah dikaitkan dengan penggantian kerana orang yang kedua datang setelah orang yang pertama dan menggantikan kedudukannya. Menurut Imam Ath Thabari, makna bahasa inilah yang menjadi alasan mengapa as-sulthan al-a’zham (penguasa besar umat Islam) disebut sebagai khalifah kerana dia menggantikan penguasa sebelumnya lalu menggantikan kedudukannya (Tafsir Ath-Thabari, I/199).
Umat Islam harus memahami bahawa cara perlantikan Khalifah, “maka ia tidaklah terwujud kecuali dengan penetapan Ahlul-Halli wal ‘Aqdi iaitu sama ada melalui jalan pemilihan atau penunjukan (diisytiharkan oleh pemimpin sebelumnya)” [Al- Imaamatul-‘Udhmaa oleh Ad Dumaiji hal. 40]. Oleh itu, siapa nama khalifah sebelum Abu Bakar al-Baghdadi? Siapa tokoh Ahlul-Halli wal ‘Aqdi yang menobatkan Abu Bakar al-Baghdadi sebagai khalifah? Kesemua persoalan ini tidak akan dapat dijawab oleh ISIS.
Justeru, berdasarkan hujah-hujah ini umat Islam tidak perlu memberi bai’ah kepada Abu Bakar al-Baghdadi mahu pun berhijrah ke Khilafah Islamiyah ciptaan ISIS. Malah, Khilafah Islamiyah itu sendiri tidak diperintahkan dalam al-Quran dan ia bukannya menjadi kewajipan umat Islam untuk menegakkannya.
Sumber: Dr. Zulkarnain Haron, Berita Tentera Darat Malaysia
IKUTI KAMI👇🏼
https://al-haqcentre.blogspot.com
https://instagram.com/alhaqcentre
https://twitter.com/alhaqcentre
Comments
Post a Comment