Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
“Berpuasalah
kamu nescaya kamu menjadi sihat.” (HR Tabrani)
Ini kerana dalam Islam, kesihatan terbahagi kepada dua
sama ada rohani atau jasmani. Di mana uniknya puasa, dapat menyembuhkan dua
penyakit rohani dan jasmani dan menggantikan kesihatan untuk kedua-duanya. Ini
terbukti dengan pengesahan oleh pakar perubatan moden bahawa amalan berpuasa
boleh menaik tarafkan kesihatan seseorang.
Puasa mendidik serta membantu
sistem penghadaman menerima makanan dan minuman pada waktu ditetapkan saja,
sedangkan pada kebiasaannya seseorang itu sentiasa menikmati hidangan makanan
tanpa mengira waktu dan menu. Ini menjadikan perut bekerja memproses makanan
tanpa rehat. Penyelidik dan pakar ilmu perubatan ada menyatakan puasa mampu
mengurangkan kadar toksin dalam badan dan secara tidak langsung meningkatkan
imunisasi melawan penyakit.
Ajaib sekali perintah Allah SWT untuk berpuasa
menjadikan kita kembali sihat. Menurut pandangan ahli biologi, ketika perut dan
usus melakukan proses pencernaan, otak tidak berfungsi dengan baik. Ini kerana
tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada kerja penghadaman makanan. Sebab
itu apabila seseorang makan terlalu kenyang, otak menjadi lemah untuk berfikir
manakala tubuh terasa mengantuk dan malas. Ketika berpuasa, tenaga dan
pengaliran darah tertumpu kepada otak. Ini menjadikan otak dapat bekerja dengan
lancar dan memberi peluang untuk melaksanakan aktiviti yang menggunakan mental
dan fizikal berkesan.Pengarah pemakanan di Moscow, Dr. Yuri Nikolayev berkata: Apakah penemuan yang paling penting pada abad ini? Adakah jam radioaktif, penemuan telur dinasour di Mongolia ataupun penemuan bandar-bandar purba yang hilang beribu-ribu tahun dahulu? Pada pendapat saya, penemuan terbesar pada abad ini ialah penemuan cara untuk memastikan tubuh badan kita menjadi lebih sihat iaitu dengan cara berpuasa. Ia penemuan terhebat pada abad ini yang jauh lebih bernilai daripada segala-galanya.
Selain itu, puasa pada bulan Ramadhan bukan sahaja mendidik umat Islam menahan diri daripada makan dan minum tetapi turut menahan diri mereka daripada melakukan perbuatan mungkar seperti menipu, bertengkar, mengeluarkan kata-kata buruk dan sia-sia. Puasa juga menjadi medan latihan bagi memupuk kesabaran, kejujuran serta sikap bertolak ansur. Secara tidak langsung, puasa akan membina serta membiasakan semua sikap positif itu dalam diri masing- masing seperti firman Allah SWT:
"Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu bertaqwa" (Surah al-Baqarah: 183).
Sumber: Irsyad al-Fatwa Siri (25/6/2015), Pejabat Mufti
Wilayah Persekutuan / My Metro
FOLLOW US:
http://facebook.com/alhaqcentremalaysia
http://al-haqcentre.blogspot.com
http://instagram.com/alhaqcentre
"BERSATU MENENTANG KEGANASAN"
Comments
Post a Comment