ATEISME UMPAMA BARAH YANG MEROSAKKAN AKIDAH UMAT ISLAM



Perkembangan teknologi maklumat telah menyebabkan berlakunya perubahan yang ketara terhadap gaya hidup masyarakat moden hari ini. Antaranya kita terpaksa berhadapan dengan cabaran yang semakin getir dalam mempertahankan akidah yang benar. Jika dahulu kita berjaya mengawal, menyekat dan menapis segala bentuk fahaman yang cuba merosakkan akidah kita serta generasi muda kita, namun realitinya kini anak-anak muda dan remaja sangat mudah terdedah kepada pelbagai bentuk fahaman yang menyeleweng sehingga boleh merosakkan diri dan akidah mereka termasuklah fahaman ateisme.

Beberapa ciri fahaman ateisme yang menyesatkan akidah dapat dinyatakan seperti berikut;
1. Menolak secara mutlak wujudnya tuhan atau segala yang bersifat Ilahiah.
2. Menetapkan hujah bahawa tiada bukti wujudnya tuhan dan kegagalan sains mengesahkannya sebagai asas kepada penolakan tersebut.
3. Meyakini bahawa hidup adalah satu proses di mana tiada ruang untuk menerima kewujudan tuhan.

Fahaman ini secara jelas amat bertentangan dengan dasar akidah Islam yang berpaksikan kepada tauhid. Firman Allah SWT dalam surah al-Ikhlas, ayat 1-4, maksudnya:
"Katakanlah (Wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah yang Esa; Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Dia tidak beranak, dan Dia pula tidak diperanakkan; Dan tiada sesiapa pun yang setara dengan-Nya".

Kini terdapat satu pertubuhan Ateisme iaitu Atheist Republic. Pertubuhan ini diasaskan oleh Armin Navabi, seorang yang dilahirkan dalam keluarga Muslim liberal. Keahlian pertubuhan ini termasuk daripada kalangan orang Melayu dan Islam yang menggelar diri mereka sebagai ‘bekas Muslim’. Dengan adanya laman Facebook yang diwujudkan khusus buat golongan athies seluruh dunia pada 2011, gerakan ini dikatakan telah berjaya menjejak mereka yang menolak kewujudan Tuhan dan sehingga kini mempunyai pengikut lebih 1.6 juta di Facebook.

Kewujudan kumpulan seperti ini tidak seharusnya dipandang remeh dan sepi. Tindakan segera perlu diambil untuk membendung penularan fahaman ateis yang menolak kepercayaan terhadap kewujudan tuhan. Jika dibiarkan, adalah tidak mustahil ia akan menjadi barah yang suatu masa nanti akan mendatangkan malapetaka yang besar terhadap pegangan akidah umat Islam di negara kita ini. Oleh itu, semua pihak perlu berperanan serta berganding bahu antara satu sama lain. Kepada mereka yang terlibat dengan kumpulan ini, sama ada yang mendokong new atheisme atau ateisme pragmatis, hendaklah segera bertaubat dan kembali kepada ajaran akidah Islam yang benar.

Sumber: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan

FOLLOW US:
http://facebook.com/alhaqcentremalaysia
http://al-haqcentre.blogspot.com
http://instagram.com/alhaqcentre

"BERSATU MENENTANG KEGANASAN"

Comments