AWASILAH DOSA DI HUJUNG JARI


Perkembangan teknologi komunikasi pada hari ini amat besar cabarannya kerana jika tanpa iman ia boleh mengundang keburukan. Namun, persoalan yang hendak difikirkan pada hari ini sejauh manakah setiap daripada kita ini bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat yang diperolehi dan bagaimana menyampaikannya kepada orang lain. Amat malang sekali terdapat sesetengah daripada kita yang amat teruja menyebarkan sebarang maklumat tanpa usul periksa demi memastikan hasratnya tercapai. Apakah kita tidak rasa bertanggunjawab untuk menggunakan teknologi komunikasi demi kemaslahatan seluruh manusia. Tidak rasa berdosakah kita menyebarkan segala data dan maklumat yang tidak betul melalui telefon bimbit atau komputer tanpa memikirkan perasaan orang lain? Apakah kita membiarkan jari jemari kita ini digunakan untuk kemaksiatan terhadap Allah SWT? Ingalah! Suatu masa nanti tangan kita inilah yang akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah SWT atas segala tindakan yang dilakukan.

Firman Allah dalam surah Yasin ayat 65:
“Pada hari ini, Kami tutup mulut mereka, tangan mereka akan berkata kepada Kami dan kaki mereka akan memberi kesaksian terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan”.

Sesungguhnya Allah SWT mengurniakan kita pancaindera adalah untuk melakukan ibadah kepada-Nya bukan untuk membuat maksiat dan dosa. Jika jari dan tangan yang kita gunakan ini untuk menyakiti orang lain bererti kita telah khianat kepada amanah Allah. Kalau dahulu kita menyakiti orang lain dengan melakukan kekerasan tubuh badan namun pada hari ini dengan kemajuan teknologi kita mudah sahaja menyakiti hati orang lain bahkan lebih memburukkan keadaan hanya dengan menyebarkan fitnah dan cacian menggunakankehebatan tangan sendiri.

Bukankah ini suatu kelemahan yang harus dipandang serius kerana sikap sedemikan boleh mengundang dosa terhadap Allah SWT. Tangan dan lisan kita ini adalah tanda iman kita kepada Allah SWT. Gunakan ia untuk kebaikan kerana ianya adalah akhlak yang baik dan disebut banyak sekali dalam hadis nabi SAW. Justeru itu, sentiasa berwaspada dalam setiap tindakan kita agar tidak mudah melakukan dosa dihujung jari kita. Jadilah insan yang baik dan bertanggungjawab dalam menggunakan media social.

Sumber: Bahagian Pengurusan Masjid - JAIS

IKUTI KAMI 👇


"BERSATU MENENTANG KEGANASAN"

Comments