BAGAIMANA FAHAMAN SYIAH TERSEBAR DI MALAYSIA



Penyebaran fahaman Syiah di Malaysia dilakukan melalui beberapa cara:

a) Lawatan pembesar-pembesar Iran ke Malaysia yang disusuli dengan kempen dan penerangan fahaman mereka serta lawatan pelawat-pelawat Malaysia ke Republik itu.

b) Melalui pelajar-pelajar Malaysia yang ditawarkan belajar ke Republik itu dengan diberi biasiswa dan kemudahan asas yang secukupnya atau melalui pegawai-pegawai Kedutaan Iran di Malaysia yang membuat lawatan ke pusat-pusat pengajian tinggi di Malaysia.

c) Memberi hadiah berupa buku fahaman Syiah kepada perpustakaan-perpustakaan umum seperti perpustakaan universiti, masjid dan kedai-kedai buku yang terkenal.

Sejarah bertapaknya Syiah di Malaysia tidak disepakati oleh para sarjana. Namun hampir kesemua bersetuju kemasukan Syiah secara meluas ke negara ini adalah selepas tercetusnya Revolusi Iran pada tahun 1979 di bawah pimpinan Ayatollah Al-Khomeini selepas menumbangkan Dinasti Pahlavi. Slogan perpaduan Sunni-Syiah di Malaysia yang dicanangkan atas hujah bertuhankan tuhan yang sama, berkiblatkan pada satu kiblat yang sama dan berpandukan pada satu nabi yang sama sering dicanangkan untuk mendapatkan simpati dari masyarakat Melayu Islam. Pada waktu itu, media Barat cukup hebat memainkan propaganda mengangkat imej Al-Khomeini sebagai pemimpin pembaharuan dunia Islam dengan memberi gambaran beliau adalah pemimpin agama yang hebat serta perlu diikuti oleh semua dunia Islam.

Propaganda ini membuahkan hasil apabila masyarakat Islam pada waktu berkenaan dilihat terpengaruh dengan slogan yang dibawa oleh Al-Khomeini dengan menghantar anak-anak untuk belajar di Iran. Selepas Al-Khomeini diangkat menjadi pemerintah, beliau mengambil peluang ini mengajak semua pemimpin dunia termasuk dari Malaysia untuk bertandang ke Tehran terutama pemimpin-pemimpin parti politik yang dominan memerintah negara dan pertubuhan-pertubuhan berlatar belakangkan Islam untuk bertemu dengannya. Apabila rakyat Malaysia dan pelajar-pelajar dari rumpun Nusantara ini kembali dari belajar di Iran, mereka turut membawa fahaman Syiah ke Malaysia. Menurut Wan Zahidi (2013), fahaman Syiah adalah ancaman kepada akidah umat Islam di Malaysia yang berpegang dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sumber: Wan Zahidi bin Wan Teh & Syeikh Mahmood Sa`ad Nasih. (2013). Mengenal Hakikat Syiah. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

FOLLOW US:
http://facebook.com/alhaqcentremalaysia
http://al-haqcentre.blogspot.com
http://instagram.com/alhaqcentre

"BERSATU MENENTANG KEGANASAN"

Comments