Gejala fitnah memfitnah di kalangan umat Islam tidak
pernah padam dalam diari sejarah umat Islam. Sejarah Islam membuktikan fitnah
bukan sahaja merugikan umat Islam dengan perpecahan dan pergolakan bahkan
banyak juga yang membawa kepada pertumpahan darah yang sangat merugikan
kecemerlangan umat Islam itu sendiri. Sejarah fitnah dalam Islam ini sebenarnya
telah berlaku sejak zaman Rasulullah S.A.W. lagi. Rasulullah S.A.W. selalu
difitnah sebagai orang gila, membawa ajaran yang memecahbelahkan masyarakat
Arab dan lain-lain perkataan lagi sewaktu baginda melaksanakan dakwah Islam di
Mekah.
Agama Islam amat benci kepada orang yang melakukan
fitnah ke atas orang lain sehingga banyak ayat al-Quran dan hadis-hadis yang
menjanjikan balasan buruk yang akan diterima oleh mereka kerana suka membuat
fitnah tersebut. Dalam surah al-Nur ayat 11 yang bermaksud;
“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang
amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka
(berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap
seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang
dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya
di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat)”.
Bahkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam
al-Bukhari RH daripada Huzaifah RA, sabda Rasulullah SAW:
“Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan
fitnah.” (HR Bukhari).
.
Sebagai umat Islam, adalah menjadi tanggungjawab kita
untuk membasmi segala bentuk perpecahan yang boleh membawa kepada kemunduran
umat Islam. Oleh itu, dalam usaha untuk mendidik masyarakat bagi menghadapi
golongan yang suka fitnah menfitnah ini Imam al-Ghazali ada menjelaskan
langkah-langkah perlu diambil oleh umat Islam:
(1) Menolak berita yang disampaikan oleh golongan kaki
fitnah. Hal ini adalah kerana golongan ini dianggap fasik. Orang yang fasik
tidak boleh diberi kepercayaan terhadap berita-berita yang dibawanya.
(2) Menunjukkan kemarahan dan kebencian kepada penabur
fitnah tersebut kerana Allah S.W.T. juga marah dan bencikan golongan ini.
(3) Melarang penfitnah itu daripada meneruskan
usahanya menfitnah kerana perintah Allah S.W.T. yang menyuruh mencegah segala
bentuk kemungkaran.
(4) Menolak daripada bersangka buruk terhadap orang
yang menjadi mangsa fitnah tersebut kerana bersangka buruk ini merupakan satu
dosa di sisi Islam.
(5) Jangan mengintip dan mencari kesalahan yang
difitnahkan melainkan bagi penguasa yang dipertanggungjawabkan untuk
membuktikan kebenaran yang terfitnah kerana perbuatan mencari-cari keburukan
merupakan satu dosa.
(6) Menghindarkan diri dan menanamkan ketidaksukaan
kepada diri daripada menceritakan pula fitnah yang didengar kepada orang lain
kerana dengan perbuatan itu dirimu juga tergolong golongan pemfitnah yang
dibenci.
Sumber: Pusat Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial,
Universiti Teknologi Malaysia
FOLLOW US:
http://facebook.com/alhaqcentremalaysia
http://al-haqcentre.blogspot.com
“BERSATU
MENENTANG KEGANASAN”
Comments
Post a Comment