BERSAMA MENANGKIS FAHAMAN ISLAM LIBERAL



Terdapat dua fenomena utama yang mempengaruhi psikologi umat Islam. Pertama, fenomena penjajahan Barat ke atas negara-negara Islam merangkumi penjajahan dalam bentuk pemikiran, penjajahan ekonomi, budaya dan sebagainya. Kedua, fenomena kemunduran dan ketinggalan umat Islam dalam bidang teknologi dan kemajuan masa kini. Akibat dua fenomena ini, terdapat kumpulan umat Islam yang menganggap agama sebagai halangan tetapi berpendapat penyelesaiannya adalah dengan membuka dan membebaskan agama daripada tafsiran lama yang dikatakan jumud dan tidak menjadi pemangkin kepada kamajuan umat Islam. Golongan ini dikenali sebagai golongan Muslim Liberal yang dipelopori oleh golongan cendekiawan dan intelek serta gerakan yang kuat untuk meyakinkan masyarakat bahawa mereka satu wakil atau mazhab yang sah untuk mentafsir Islam.


Kumpulan Muslim Liberal ini juga membahagikan wahyu kepada dua; iaitu wahyu secara bertulis (al-Quran) dan wahyu tidak bertulis (akal manusia). Mereka mengatakan bahawa akal yang sebenarnya menghidupkan teks al-Quran berdasarkan tujuan, konteks dan suasana semasa. Oleh itu, al-Quran dikatakan hanya bersifat menerangkan tujuan-tujuan agama manakala akal manusialah yang sebenarnya bertanggungjawab menyesuaikan al-Quran dengan kehendak kontemporari. Sebagai contohnya ayat-ayat tentang hukum jenayah Islam dikatakan hanya bertujuan menjatuhkan hukuman kepada penjenayah sedangkan bentuk hukuman seharusnya ditentukan oleh akal manusia selaras dengan peradaban dan ketamadunan manusia.


Mereka bermaksud membuka dan membebaskan tafsiran al-Quran daripada tafsiran silam yang muktabar untuk memajukan umat manusia. Malah mereka menyindir ulama’ yang berpegang kuat kepada tafsiran muktabar dan disiplin ilmu yang ketat sebagai ‘penyembah’ teks al-Quran semata-mata. Pemahaman golongan liberal ini bukan sahaja disifatkan membawa pemikiran yang lebih terbuka, bahkan mereka secara proaktif ingin membebaskan umat Islam daripada pandangan agama yang dikatakan jumud. Sekiranya golongan ini cuba merungkaikan asas agama itu sendiri, jadi mana boleh ia diiktiraf sebagai satu mazhab yang sah.


Golongan liberal ini tetap ada di mana-mana sahaja dan bila-bila masa sahaja. Walaupun nama dan identiti mereka berbeza, namun manhaj dan pembawaan mereka sama sahaja. Kesemua mereka mendapat didikan dari Barat atau pernah berkhidmat dalam mana-mana institusi di Barat. Negara-negara Timur Tengah menyaksikan lahirnya golongan ini yang sebahagiannya ada yang ditarik balik kelulusan dan ijazah mereka oleh universiti asal pengajian mereka. Maka apakah jaminan bahawa golongan ini tidak akan wujud dan berkembang di negara kita yang tercinta ini?!. Bersamalah kita mengawasinya dan berjuang mempertahankan ajaran Islam yang tulen dan tidak memberikan sebarang ruang kepada golongan sesat seperti ini untuk menimbulkan keraguan terhadap agama.

Sumber:

1.         Adaptasi oleh Nazrul Hassan daripada khutbah Jumaat oleh Ustaz Mohd Zamrus Mohd Ali al-Hafiz, Imam Besar Masjid al-Malik Khalid, Pusat Islam USM
2.         Berita Harian (28 Ogos 2018)


“BERSAMA MENENTANG KEGANASAN”

Comments