IMAN SEMPURNA PEMANGKIN KETABAHAN HADAPI UJIAN HIDUP


Menjadi kewajipan asasi setiap Muslim untuk berazam dan beristiqamah melaksanakan perintah Allah SWT di samping menjauhi segala tegahan-Nya. Ini kerana kebahagiaan hanya boleh dicapai dan diperoleh pada jalan beriman, bertakwa dan beramal soleh. Iman itu ialah kepercayaan yang tersemat di hati yang dibuktikan dan dizahirkan oleh amal perbuatan yang melibatkan anggota badan seperti lidah, tangan, kaki dan lain-lain lagi. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Iman itu bukanlah dengan perhiasan dan cita-cita, tetapi ia adalah apa yang tersemat di hati dan dibuktikan dengan perbuatan.” (HR. Al-Baihaqi).


Kepatuhan dan ketaatan terhadap suruhan dan larangan Allah SWT menunjukkan keredhaan kita terhadap apa yang telah digariskan agama kita sekali gus berpeluang mengecap kesempurnaan iman yang sebenar. Firman Allah dalam Surah al-Anfal ayat 2-4:-

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. Iaitu orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka; Merekalah orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tertinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di syurga).” 

Ayat ini menjelaskan bahawa  keimanan seseorang hamba itu dapat dilihat pada lima perkara :

1. Apabila disebut nama Allah, gementar hatinya.
2. Apabila dibacakan ayat Allah, makin bertambah imannya.
3. Sentiasa menyerah diri kepada Allah.
4. Mendirikan sembahyang, taat kepada perintah Allah.
5. Apabila dikurniakan Allah rezeki, dibelanjakan ke jalan yang diredai Allah.

Dengan hal yang demikian, iman adalah penjana kekuatan luar biasa dalam kehidupan Muslim. Ini kerana ia menjana kekuatan beribadah memandangkan antara tuntutan iman itu ialah adanya ketaatan beribadah. Maknanya, Muslim yang sempurna imannya adalah mereka yang melaksana dan memelihara amal ibadatnya.

Sumber: Jabatan Hal Ehwan Agama Islam Negeri Sabah

FOLLOW US:
http://facebook.com/alhaqcentremalaysia
http://al-haqcentre.blogspot.com
http://instagram.com/alhaqcentre

"BERSATU MENENTANG KEGANASAN"

Comments