Pensyarah Sains Politik dan Pengajian
Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Ahmad El Muhammady
berpendapat militan IS atau Daesh telah membawa ideologi 'exclusivism' yang
meyakini bahawa mereka adalah kumpulan yang dipilih Allah untuk menyelamatkan
manusia.
Hakikatnya, mereka telah membawa banyak
kerosakan kepada agama dan umat Islam seperti yang diakui oleh Muhammad
al-Maqdisi, mentor kepada Abu Mus’ab al-Zarqawi, pemimpin Al-Qaeda di Iraq.
"Di Hari Raya korban (Aidiladha),
mereka menyembelih manusia seperti binatang ternakan. Apakah ini ajaran Islam?
Apa yang Islam dapat? Jelas ia satu kumpulan yang mencemarkan imej Islam dan
bukan membawa kebaikan.
"Ideologi mereka disebarkan ke
seluruh dunia termasuk Malaysia khususnya melalui media sosial. Ini menyebabkan
beberapa rakyat kita terikut-ikut dan ingin melakukan aksi ganas yang sama
seperti kes letupan bom tangan yang berlaku di Kelab Movida, Puchong, Selangor
sebelum ini yang jelas merupakan satu ancaman kepada negara," ujarnya.
Ditanya mengenai perkembangan ideologi
ekstremis ini daripada permulaan aliran pemikiran keras sehingga kepada
mengangkat senjata, Ahmad yang juga Felo Kanan di Institut Kajian Strategik
Islam Malaysia (IKSIM) berkata kemunculan garis keras dalam dunia Islam
bukanlah satu peristiwa baharu.
Ulas beliau, daripada segi sejarah ia
sudah wujud sejak zaman Khalifah keempat dalam pemerintahan Khulafa' Arrasyidin
dan Saidina Ali, di mana kumpulan yang dikenali sebagai 'Khawarij' menghukum
kafir sesiapa yang enggan mengikut mereka selain menyeru semua pengikut
mengangkat senjata untuk melawan kerajaan Islam.
"Kumpulan jenis ini wujud dalam
semua zaman sehinggalah ke hari ini bahkan pada pandangan beberapa tokoh Islam,
militan IS atau Daesh ini lebih teruk daripada Khawarij. Biasanya, golongan
seperti ini akan menggunakan slogan 'kembali kepada Islam yang tulen' untuk
menarik sokongan umat Islam.
"Namun, lama-kelamaan wajah sebenar
mereka akan terzahir apabila banyak melakukan aktiviti yang menyalahi ajaran
Islam seperti membunuh orang secara kejam atas nama agama," katanya.
Turut menyentuh mengenai penggunaan pandangan
ulama kontroversi dalam jihad golongan itu, beliau berkata ia sememangnya
fakta yang tidak boleh disangkal. Malahan boleh didapati secara jelas melalui
fatwa dan buku keluaran golongan itu seperti Idarah al-Tawahhush oleh Abu Bakar
Naji dan Da’wah al-Muqawwamah al-Islamiyyah al-‘Alamiyyah oleh Abu Mus’ab
al-Suri.
"Oleh kerana pandangan dan ijtihad
tokoh ini agak keras ekoran keadaan sosio-politik ketika itu, militan IS atau
Daesh gemar menggunakan hujah-hujah itu kerana bersesuaian dengan matlamat
politik dan perjuangan mereka," jelas beliau.
Sumber: Bernama- 6 Februari 2017
FOLLOW US:
http://facebook.com/alhaqcentremalaysia
http://al-haqcentre.blogspot.com
http://instagram.com/alhaqcentre
Comments
Post a Comment