KUMPULAN ABU SAYYAF MENGANCAM KESELAMATAN NEGARA - MEREKA BERPEGANG KEPADA IDEOLOGI SALAFIYAH JIHADIYAH SEPERTI DAESH/IS, JI DAN KUMPULAN MILITAN YANG LAIN



Kumpulan Abu Sayyaf berasal daripada Kumpulan Moro National Liberation Front (MNLF) tetapi beberapa pengikutnya berpecah meninggalkan kumpulan MNLF dan menubuhkan kumpulan Abu Sayyaf setelah tidak bersetuju dengan beberapa dasar perjuangan MNLF. Ditubuhkan sekitar tahun 1991 dan menjadikan kawasan sekitar Pulau Basilan, Pulau Jolo, Sulu dan Zambaonga sebagai markas pergerakan mereka. Tujuan pergerakan kumpulan Abu Sayyaf adalah untuk untuk mewujudkan sebuah wilayah Islam yang bebas di Selatan Filipina yang akan ditadbir berdasarkan syariat Islam.

Kumpulan Abu Sayyaf juga berpegang kepada ideologi Salafiyah Jihadiyah yang mempercayai bahawa perjuangan untuk mendapatkan wilayah yang merdeka hanya melalui jihad ke atas kerajaan Filipina. Kumpulan Abu Sayyaf menjalin hubungan dengan kumpulan militan lain termasuk al-Qaeda, JI, kumpulan MILF, kumpulan Rajah Sulaiman di Filipina dan beberapa kumpulan militan lain di Indonesia untuk melakukan operasi jihad, mendapatkan latihan ketenteraan dan juga pembiayaan operasi jihad. Antara ideologi yang menjadi keyakinan kumpulan Abu Sayyaf selain ideologi Salafiyah Jihadiyah secara umum seperti yang dijelaskan sebelum ini adalah:-

1.         Jihad (perang) hanya satu-satunya cara untuk mewujudkan keadilan, keamanan dan kebajikan/kebaikan sebenar.

2.         Petunjuk al-Quran dan sunnah yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan sahabatnya sahaja lah yang menjadi panduan mutlak untuk mewujudkan sebuah masyarakat Islam yang sebenar.

3.         Islam telah dihancurkan oleh penjajah kerajaan FILIPINA secara sistematik. Oleh itu, kerajaan Filipina merupakan musuh utama yang perlu ditentang,

4.         Operasi pengeboman, peras ugut, pembunuhan orang awam yang dianggap musuh, penculikan musuh adalah operasi jihad yang dibenarkan dalam Islam kerana mereka adalah musuh Islam, sedangkan keadaan sekarang adalah dalam darurat perang.

5.         Operasi pengeboman bunuh diri adalah bahagian daripada jihad dan dibenarkan dalam Islam kerana tujuannya adalah untuk menakutkan musuh dan memusnahkan musuh.

6.         Kerajaan Filipina telah menjajah bumi umat Islam di Selatan Filipina dan melakukan tindakan tidak adil terhadap umat Islam sejak 400 tahun yang lampau. Hanya perjuangan jihad (perang) sahaja yang akan dapat membebaskan umat Islam di Filipina daripada penindasan, penjajahan dan kezaliman yang dilakukan. Oleh itu, jihad (perang dengan cara apa sekalipun) sehingga berjaya mewujudkan sebuah negara Islam yang merdeka adalah menjadi fardu ain.

Berdasarkan ideologi ini, kumpulan Abu Sayyaf menjalankan pelbagai tindakan keganasan seperti pengeboman, penculikan terhadap individu yang dianggap musuh Islam, pembunuhan, peras ugut dan sebagainya, semuanya dilakukan atas alasan menjalankan operasi jihad. Pada tahun 2014, kumpulan Abu Sayyaf telah menyatakan sokongan kepada kumpulan Daesh dan pemimpinnya juga telah membai’ah pemimpin Daesh. Kumpulan Abu Sayyaf adalah kumpulan militan/pemisah yang paling keras kerana tidak mahu mengadakan sebarang perundingan dengan kerajaan Filipina, malah mengambil tindakan yang lebih ganas berbanding kumpulan militan/pemisah yang lain. Perkembangan Abu Sayyaf di perairan Malaysia semenjak kebelakangan ini perlu diambil cakna oleh pihak yang berwajib agar tidak memberi ancaman keselamatan kepada Malaysia.

Sumber: Contemporary Southeast Asia Journal

FOLLOW US:
http://facebook.com/alhaqcentremalaysia
http://al-haqcentre.blogspot.com
http://instagram.com/alhaqcentre.

Comments