Islam
amat menitikberatkan keamanan bagi sesebuah negara. Rasulullah SAW
menggambarkan bahawa keamanan merupakan salah satu nikmat terbesar di dunia
dalam sabdanya yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah r.a, daripada Abu Salamah
bin Ubaidillah, daripada bapanya, Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa
antara kamu berada pada waktu pagi dalam keadaan sihat tubuh badannya, rasa
aman dalam hidupnya, cukup makanannya pada hari itu, maka seolah-olah seluruh
dunia dikumpulkan untuknya.”
Dalam
memastikan keamanan dan keharmonian Negara dapat dikekalkan, umat Islam juga
diseru agar menjaga adab dalam berbicara terutama di media sosial, bijak
menilai dan mencari kebenaran berkaitan sesuatu berita yang disebarkan oleh
mana-mana pihak. Janganlah ada cubaan untuk mengeruhkan lagi keadaan sehingga
membawa kepada perbalahan, pergaduhan dan pertelingkahan sesama muslim walaupun
berlainan pemikiran dan politik. Tunjukkan akhlak mulia sebagai muslim sebenar
lebih-lebih lagi di hadapan golongan bukan Islam.
Setiap
umat Islam juga hendaklah memahami ajaran Islam secara menyeluruh termasuk
menghayati konsep keamanan dan kesejahteraan sebagaimana dianjurkan Islam.
Sentiasalah berlapang dada dan bertolak ansur menjalani kehidupan. Marilah kita
bersatu padu dan berganding bahu dalam membasmi segala anasir yang boleh
menggugat kestabilan dan kemakmuran Negara yang kita cintai ini. Ingatlah
bahawa keamanan dan keharmonian Negara mestilah diutamakan setiap masa.
Antara
nikmat besar yang telah dikurniakan kepada kita ialah nikmat keamanan dan
kesejahteraan. Allah SWT mengurniakan nikmat ini supaya kita semua dapat
berfikir dan merenungi keagungan dan kekuasaan-Nya. Justeru, dengan itu kita
dapat meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada-Nya. Keamanan bermaksud kita
bebas dari segala macam ancaman yang menggugat keharmonian. Dengan adanya
keamanan di Negara ini, maka keselamatan dan keharmonian akan terbina kukuh dan
Islam akan dapat terus terpelihara dan berdaulat. Ketahuilah, bahawa jika
nikmat keamanan tiada, bukan sahaja memberi ancaman keselamatan kepada Negara,
bahkan kedaulatan Islam juga akan tergugat dan sukar untuk menegakkan syariat
Islam di bumi tercinta ini.
Sumber: Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia
FOLLOW US:
http://facebook.com/alhaqcentremalaysia
http://al-haqcentre.blogspot.com
http://instagram.com/alhaqcentre.
Comments
Post a Comment