MEMBENDUNG PENULARAN PENGARUH DAESH DIKALANGAN PELAJAR IPT



Ramai yang tahu khususnya pihak berkuasa bahawa Daesh cuba merekrut belia negara kita untuk menggerakkan aktiviti mereka terutama sekali menjadi pejuang sukarela di Iraq dan Syria. Tidak dapat dipastikan dengan tepat berapa ramai belia Malaysia yang terlibat dengan Daesh ini, namun jumlahnya mungkin dalam lingkungan ratusan. Sasaran utama Daesh ini sekiranya tidak dibendung sudah pasti merebak dalam kalangan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan. Walaupun bilangan pelajar dan kakitangan di IPT yang dikatakan terlibat dengan Daesh masih kecil tetapi langkah pencegahan awal agar pelajar IPT tidak terpengaruh dengan elemen yang boleh mengancam keselamatan negara perlu diambil.

Terdapat sebuah kajian yang telah dijalankan bagi mengenal pasti faktor mempengaruhi pelajar IPT terhadap penerimaan dan penolakan perjuangan serta mengkaji impak kefahaman pelajar IPT mengenai Daesh terhadap keselamatan Malaysia pada masa akan datang. Hasil dapatan kajian menunjukkan 62 peratus pelajar menganggap Daesh sebagai gerakan pengganas. Sementara itu, 66.7 peratus pelajar tidak bersetuju bahawa menyertai Daesh sebagai satu jihad yang menerima balasan syurga. Perkara yang lebih menarik ialah faktor media sosial didapati mempunyai pengaruh yang rendah dengan penerimaan pelajar terhadap Daesh tidak seperti yang dianggap umum dalam mempengaruhi tahap penerimaan. Sejumlah 83.4 peratus pelajar menyatakan propaganda Daesh melalui media sosial tidak berkesan mempengaruhi sikap dan pemikiran mereka. Cuma hanya 4.8 peratus pelajar yang terpengaruh dengan Daesh melalui media sosial dan Internet.

Walaubagaimana pun usaha-usaha perlu terus dilakukan untuk mengelak pihak Daesh menjadikan IPT sebagai tempat merekrut kumpulan mereka dan menyebarkan ideologi salah mereka itu. Perkara ini perlu diberi perhatian yang serius kerana sebelum ini, terdapat pensyarah IPT termasuk pensyarah dari luar negara yang mengajar di IPT tempatan terlibat dalam menyebarkan fahaman yang bertentangan dan boleh mencetuskan keganasan.

Sehubungan itu, penerangan mengenai Daesh kepada belia dan pelajar sama ada di sekolah, pusat pengajian tinggi awam dan swasta masih perlu dipertingkatkan untuk menyekat penglibatan golongan remaja dan belia terpengaruh dengan gerakan radikal. 

Walaupun ramai pelajar IPT tidak terpengaruh dengan gerakan Daesh, pihak berkuasa yang berkaitan dan pihak kerajaan sendiri harus mempunyai strategi untuk membendung sebilangan kecil pelajar IPT daripada menjadi radikal dan menyertai perjuangan Daesh. Jumlah yang kecil sahaja sudah mencukupi untuk mengancam keselamatan negara sekiranya tidak ditangani dengan bijaksana.

Sumber:
1.         Berita Harian- 1 March 2016
2.         Malaysia Kini- 10 April 2017

FOLLOW US:
http://facebook.com/alhaqcentremalaysia
http://al-haqcentre.blogspot.com
http://instagram.com/alhaqcentre.

Comments