MENJAGA KESELAMATAN NEGARA, MEMBINA KEMAKMURAN BERSAMA

MENJAGA KESELAMATAN NEGARA, MEMBINA KEMAKMURAN BERSAMA


Konsep keselamatan negara selepas merdeka ini adalah berkisar kepada nilai-nilai teras negara. Ia adalah keterangkuman kelangsungan politik negara bagi memastikan hidup bernegara terjamin dengan mengambil kira pelbagai faktor luaran dan dalaman seperti cabaran politik, pembinaan negara bangsa, dasar luar, hubungan kaum, perdagangan antarabangsa, pembangunan ekonomi dan sosial negara. Keselamatan negara masih bersifat kenegaraan demi memastikan kelangsungan hidup negara terjamin khususnya dalam mempertahankan nilai-nilai teras yang telah dibentuk. 

Bukanlah senang bagi sesebuah masyarakat yang berbilang bangsa yang telah dijajah beratus tahun lamanya oleh empat kuasa Eropah dan Asia untuk membentuk sebuah kesatuan negara yang stabil dan makmur. Namun Malaysia telah dapat membuktikan sebaliknya. Cabaran utama negara pada awal kemerdekaannya terutama pada tahun-tahun 1960-an adalah dari segi menyatu-padukan rakyatnya yang berbilang bangsa. Struktur politik dan sosial Malaysia bersandarkan jalinan tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina, India. Begitu juga halnya dalam pembentukan Malaysia, pengaruh dan dominasi kumpulan etnik tertentu seperti Iban di Sarawak dan Kadazan di Sabah serta lain-lainnya diambil kira dalam penyatuan politik. Dengan asas keselamatan dan kemakmuran ini, kita dapat melakukan urusan kehidupan dunia tanpa merasa takut dan bimbang malahan dengannya juga boleh membawa banyak kebaikan serta rezeki kepada manusia dan negara.

Namun adakah kita terfikir, bagaimanakah keselamatan dan kemakmuran ini dapat terus terpelihara? Perlu diingat, suasana aman, selamat dan makmur yang dinikmati seluruh masyarakat ketika ini, sebahagian besarnya datang dari usaha perjuangan dan pengorbanan semua Agensi Keselamatan dan Pihak Berkuasa Awam yang terlibat. Ia juga melibatkan usaha-usaha murni berterusan pihak kerajaan dalam menguruskan isu-isu yang berpotensi membawa kepada ancaman keselamatan negara. Sekiranya negara ini tidak diurus dengan baik, ia amatlah membimbangkan malah negara besar yang dahulunya berjaya boleh wujud dan hilang dari peta dunia. 

Justeru itu, marilah sama-sama mempunyai rasa prihatin dan kesedaran keselamatan yang tinggi untuk bersama-sama kerajaan bagi mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, sejahtera dan berdaulat. Umum mengetahui bahawa menjaga keselamatan dan kedaulatan negara merupakan tanggungjawab kerajaan. Namun apabila rakyat terlibat secara menyeluruh maka ianya dapat mewujudkan sinergi pengurusan keselamatan yang bersepadu dan berkesan. Secara tidak langsung, perkara ini akan dapat menyemai dan menyuburkan semangat cintakan negara sehingga menyumbang kepada kemakmuran bersama.

Sumber: Jabatan Hal Ehwan Agama Islam Negeri Sabah

IKUTI KAMI
"BERSATU MENENTANG KEGANASAN"

Comments