PEMIMPIN DITAATI NEGARA HARMONI



Setiap pemimpin seharusnya menjadi contoh dan tauladan kepada masyarakat. Saidina Umar al-Khattab RA pernah menyatakan bahawa “manusia mengikuti cara hidup pemimpinnya”. Kata-kata tersebut menepati realiti kehidupan kebanyakan masyarakat. Justeru, dengan adanya pemimpin yang menjadi suri teladan, maka sudah tentu dia akan memberi kesan yang mendalam kepada cara hidup masyarakat.

Sesungguhnya sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita wajib mentaati pemimpin. Dalam konteks negara, pemimpin yang mesti kita hormati ialah Ketua Utama Negara iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang dipilih oleh Majlis Raja-Raja. Malah kita juga mestilah menghormati kepimpinan negara iaitu Jemaah Menteri atau Kabinet.

Banyak ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang memerintahkan supaya pemimpin yang dilantik wajib ditaati. Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa, ayat 59:
“Wahai orang-orang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan para pemimpin di kalangan kamu"

Rasulullah SAW bersabda:
"Sesiapa yang dipimpin oleh pemimpin yang berbuat maksiat kepada Allah, maka hendaklah dia membenci perbuatannya, namun jangan dia melepaskan ketaatan daripadanya"(HR Muslim no. 1855).

As-Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi menyatakan suruhan taat kepada pemerintah disertakan dengan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah SAW. Ini menunjukkan bahawa ketaatan kepada pemerintah perlulah didasari dengan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah SAW supaya dengan itu masyarakat akan terpelihara dengan keimanan dan dalam masa yang sama mereka juga terhindar daripada penindasan.

Rasulullah SAW bersabda:
"Tidak ada ketaatan pada maksiat kepada Allah. Sesungguhnya ketaatan itu hanyalah dalam perbuatan yang baik" (HR Muslim 1840, Bukhari 7145).

Justeru, setiap pemerintah itu dituntut untuk menunaikan amanah kepimpinan dengan sempurna dan sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya setiap pemimpin itu mestilah mempunyai ciri-ciri yang melayakkan mereka menjadi pemimpin yang bertanggungjawab. Antaranya ialah:
1.         Islam
2.         Matang
3.         Bersifat adil
4.         Mempunyai pengetahuan tentang hukum agama dan dalilnya
5.         Bijaksana dan mempunyai pemikiran holistik
6.         Melaksanakan nilai-nilai Islam

Marilah kita sama-sama mentaati pemimpin kita, saling berusaha menjaga keamanan dan kesejahteraan negara serta saling ingat-mengingati sesama kita agar terus memelihara keharmonian negara dalam masyarakat yang berbilang kaum ini. Berilah sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa dalam menangani dan menyelesaikan semua isu yang timbul terutamanya dalam isu-isu berkaitan penghinaan kepada agama, penghinaan kepada Institusi Raja, isu perkauman yang semakin berleluasa sekarang ini. Sebagai rakyat yang bijak, kita juga mestilah mengamalkan sikap ‘semak sebelum sebar’ terhadap sesuatu berita yang diterima supaya kita tidak menjadi virus yang menyebar berita palsu yang boleh menggugat keharmonian kaum di negara ini.

Sumber: Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

FOLLOW US:
http://facebook.com/alhaqcentremalaysia
http://al-haqcentre.blogspot.com
http://instagram.com/alhaqcentre.

Comments