SEMANGAT TOLERANSI DAN KERJASAMA ANTARA ORANG ISLAM DAN BUKAN ISLAM ASAS KESTABILAN NEGARA



Hubungan persaudaraan di antara orang Islam dengan bukan Islam adalah didasarkan pada asal usul kejadian manusia serta hak-hak kejiranan bukannya atas dasar nasab atau kaum kerabat. Allah S.W.T. menyeru umatnya agar memberikan kebaikan dan keadilan kepada rakyat bukan Islam. Kebaikan dan keadilan ini dijamin kepada mereka selama mereka tidak memerangi dan mengusir umat Islam di negara yang telah diduduki. Allah S.W.T. berfirman di dalam surah al-Mumtahanah, ayat 8 yang bermaksud:

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil”.

Oleh yang demikian, kita sebagai umat Islam disuruh berbuat baik kepada orang bukan Islam yang tinggal di negara kita. Tiada sistem undang-undang yang lebih adil seperti sistem Islam yang memberikan keadilan kepada orang bukan Islam di tanah air Islam. Islam membenarkan perhubungan ini dengan syarat tidak menjejaskan kesucian Islam serta tidak membahayakan keutuhan masyarakat. Masyarakat bukan Islam yang tidak memerangi orang Islam sahaja yang boleh berhubungan dalam bentuk perekonomian, politik dan lain-lain hubungan yang diperlukan dalam konteks kerjasama dua hala. Hubungan etnik yang mantap sangat perlu dalam kalangan rakyat sesebuah negara sepereti Malaysia yang mempunyai kepelbagaian kaum yang terdiri dari kaum Melayu, kaum Cina, kaum India dan sebagainya. Kaum-kaum ini juga terdiri daripada pelbagai agama, bahasa, budaya dan etnik yang tersendiri.

Kejayaan sesebuah negara akan dicapai dengan adanya kekuatan dan kestabilan negara yang dibentuk dari semangat toleransi dan kerjasama rakyat berbilang kaum yang menjadi asas kukuh kepada perpaduan negara. Toleransi sebagai satu sikap pegangan kehidupan dalam masyarakat memberi erti tidak idealisme, tidak fanatik, tidak mementingkan diri sendiri, mempunyai sikap keterbukaan, realistik, muafakat, tolak ansur, sabar dan menghormati hak orang lain. Orang yang mengamalkan sikap toleransi berupaya menanggung sesuatu tekanan atau berupaya menerima kesusahan dan kritikan, boleh berkorban untuk orang lain dan bersikap terbuka dan lapang dada.

Ciri-ciri tersebut adalah penting dihayati dalam masyarakat majmuk supaya keharmonian dapat dicapai. Keharmonian tidak dapat dicapai sepenuhnya tanpa sikap toleransi dan dengan buruk sangka. Bagi melahirkan keharmonian yang berterusan memerlukan ``kejinakan hati'' antara lapisan masyarakat. Perlu ada keserasian dalam kehidupan dengan menghindar ``buruk sangka dan kesangsian''.

Sumber: Prosiding Seminar Antarabangsa Pengurusan & Kepimpinan Islam, UKM

FOLLOW US:
http://facebook.com/alhaqcentremalaysia
http://al-haqcentre.blogspot.com
http://instagram.com/alhaqcentre

"BERSATU MENENTANG KEGANASAN"



Comments