AJARAN SYIAH YANG MENGHINA DAN MENGKAFIRKAN SAHABAT RASULULLAH SAW ADALAH AKIDAH YANG SESAT DAN BERCANGGAH SAMA SEKALI DENGAN FAHAMAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH


Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) mengasihi, menerima dan menyambut baik semua sahabat lebih-lebih lagi Ahlul Bait. Ini berlawanan sekali dengan akidah Syiah yang mengutuk, malah mengkafirkan sebahagian besar sahabat kecuali Saidina Ali dan beberapa orang yang dianggap sebagai pengyokong setia kepadanya.

Di dalam kitab Kasyful Asrar yang ditulis oleh Khomeini yang merupakan pemimpin dan ulamak Syiah, Saidina Abu Bakar dan Umar tidak ada bezanya dengan Abu Jahal dan Abu Lahab. Kerana jika kedua-dua sahabat itu merasakan tujuan mereka untuk berkuasa boleh dicapai melalui penentangan secara terang-terangan terhadap Islam seperti yang dilakukan oleh Abu Jahal dan Abu Lahab. Tetapi kedua-duanya memilih jalan yang berlainan dengan berpura-pura memeluk Islam dan mendampingi Rasulullah S.A.W bagi merancang pakatan untuk merampas kuasa dari Saidina Ali selepas kewafatan Rasulullah S.A.W. Dengan sebab itu, menurut Khomeini, kedua-dua sahabat ini tidak teragak-agak untuk melakukan apa sahaja dalam mencapai tujuan mereka, termasuk menggugurkan ayat-ayat al-Quran, menyelewengkannya, malah melenyapkan sama sekali al-Quran dari pandangan manusia buat selama-lamanya.

Untuk makluman, amalan memaki hamun, melaknat dan mengkafirkan sahabat ini bukanlah merupakan pendapat atau tindakan peribadi Khomeini tetapi ia adalah satu pegangan akidah dan dianggap sebagai satu ibadat yang besar dalam mazhab Syiah. Dalam kitab al-Kaafi iaitu salah satu kitab hadis yang dianggap paling muktabar dalam kalangan Syiah;

“…dan sesungguhnya Abu Bakar dan Umar telah meninggal dunia tanpa sempat bertaubat dan mengingati apa yang telah mereka lakukan terhadap Amirul Mukminin (Ali) AS, maka laknat Allah, Malaikat dan manusia seluruhnya ke atas kedua-duanya…”

Kesimpulannya, kehilangan kepercayaan terhadap sahabat nabi bermakna keraguan terhadap dua sumber utama syariat Islam iaitu al-Quran dan Sunnah. Perkara ini bukanlah menjadi pegangan ASWJ, sebaliknya ia adalah satu realiti dalam mazhab Syiah. Pada mereka al-Quran pada hari ini tidak lengkap seperti mana yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W kerana ia telah menjadi mangsa pengubahan oleh ‘golongan munafiqin’ yang dirujuk kepada para sahabat.


Sumber: Buku Mengenal Hakikat Syiah, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.


Comments