Antara nilai yang baik dalam akhlak Islam yang menjadi tonggak amalan bagi melahirkan individu unggul ialah:
1. Amanah. Amanah adalah sifat mulia yang mesti diamalkan oleh setiap orang. Ia adalah asas ketahanan umat, kestabilan negara, kekuasaan, kehormatan dan roh keadilan.
2. Ikhlas. Ikhlas adalah inti pati setiap ibadah dan perbuatan. Ikhlas akan menghasilkan kemenangan dan kejayaan. Masyarakat yang menampakkan sifat ikhlas akan mencapai kebaikan dunia dan akhirat, bersih daripada sifat kerendahan dan mencapai perpaduan, persaudaraan, perdamaian dan kesejahteraan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Bahagialah dengan limpahan kebaikan bagi orang yang bila dihadiri (berada dalam kumpulan) tidak dikenali, tetapi apabila tidak hadir tidak pula kehilangan. Mereka itulah pelita hidayah. Tersisih daripada mereka segala fitnah dan angkara orang yang zalim."
3. Tekun. Islam menggalakkan umatnya supaya tekun dalam melakukan sesuatu pekerjaan sehingga selesai dan berjaya. Sifat tekun akan meningkatkan produktiviti ummah, melahirkan suasana kerja yang aman dan memberi kesan yang baik kepada masyarakat.
4. Berdisiplin. Berdisiplin dalam menjalankan sesuatu pekerjaan akan dapat menghasilkan mutu kerja yang cemerlang. Hasrat negara untuk maju dan cemerlang akan dapat dicapai dengan lebih cepat lagi kerana dengan disiplin seseorang itu dapat menguatkan pegangannya terhadap ajaran agama dan menghasilkan mutu kerja yang cemerlang.
5. Bersyukur. Bersyukur dalam konteks peribadi unggul berlaku dalam dua keadaan: Pertama, sebagai tanda kerendahan hati terhadap segala nikmat yang diberikan oleh Pencipta sama ada sedikit ataupun banyak. Kedua, bersyukur sesama makhluk sebagai ketetapan daripada Allah SWT supaya kebajikan sentiasa di balas dengan kebajikan.
6. Sabar. Di dalam menghadapi cabaran hidup, kesabaran amat penting untuk membentuk peribadi unggul seperti yang dikehendaki Allah SWT melalui firman-Nya dalam Surah Al 'Imran, ayat 200 yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara yang berkebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah SWT supaya kamu berjaya mencapai kemenangan."
7. Adil. Adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Para ulama membahagikan adil kepada beberapa peringkat iaitu adil terhadap diri sendiri, orang bawahan, pemimpin atasan dan juga sesama saudara.
8. Patuh dan Taat. Setiap pengikut mesti taat kepada pemimpinnya. Walau bagaimanapun patuh dan taat ini hendaklah dilaksanakan selama mana seseorang pemimpin itu berada di landasan Islam yang betul daripada segi matlamat, tindakan dan pengurusan peribadinya.
Sumber: Berita Harian - 25 Februari 2016
FOLLOW US:
http://facebook.com/alhaqcentremalaysia
http://al-haqcentre.blogspot.com
http://instagram.com/alhaqcentre
“BERSATU MENENTANG KEGANASAN”
Comments
Post a Comment