Islam amat menitikberatkan umatnya
agar melakukan perkara-perkara al-Amr bi al-Ma’ruf (menyeru kepada kebaikan)
dan al-Nahi an al-Munkar (mencegah daripada perkara mungkar). Namun, untuk
melaksanakannya bukanlah semudah yang disangka. Banyak halangan dan cubaan yang
harus ditempuhi demi menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran agar agama
Islam tidak diperlekehkan oleh pihak-pihak tertentu.
Daripada abu Sa’id al Khudri RA berkata,
aku mendengar Nabi SAW bersabda:
“Barangsiapa
di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan
tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak
mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah
iman.” (Hadis Riwayat Muslim: 78)
Kita
boleh lihat, semakin maju sesebuah tamadun (negara) semakin hilang adab
kesusilaan rakyatnya. Malaysia juga tidak terkecuali. Dek kerana terlalu alpa
mengejar status kemajuan hingga terlupa untuk menjaga soal adab dan akhlak.
Bukankah negara ini berstatus Islam sebagai Agama Rasmi Negara? Apabila kita
mula terlupa untuk mengambil berat soal amar makruf dan nahi mungkar, maka
tidak hairan masyarakat di negara ini menjadi umat yang semakin lemah. Para belia
Islam hari ini sudah hilang segan dan silu untuk melakukan maksiat. Tetapi kita
tidak mampu untuk menegurnya. Bukankah kita akan termasuk dalam golongan yang
rugi dan akan dipertanggungjawabkan kelak di ‘Mahkamah Allah’?
Firman Allah SWT:
“Dan hendaklah
ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan
(mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta
melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat
demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (QS ali-Imran: 104)
Jangan
takut untuk mencegah kemungkaran walaupun menerima sejuta rintangan. Kerana
dalam setiap usaha kita itu akan diambil setiap inci pahalanya oleh Allah. Oleh
itu, marilah kita semua bersama-sama melaksanakan tugasan dan amanah Allah
untuk sentiasa melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Semoga setiap
usaha kita yang sentiasa istiqamah itu akan menyelamatkan umat Islam yang lain
dan seterusnya agama Islam sentiasa syumul di Malaysia.
Sumber:
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Canselori Universiti Malaysia Terengganu
Comments
Post a Comment