DAKYAH HIZBUT TAHRIR YANG MENGAJAK RAKYAT UNTUK MEMBENCI KERAJAAN DAN SISTEM DEMOKRASI YANG DIKATAKAN KUFUR BOLEH MEMPENGARUHI SENTIMEN RAKYAT UNTUK BANGKIT MENGGULINGKAN KERAJAAN


Kumpulan Hizbut Tahrir memang tidak terlalu dikenali di Malaysia dan tidak mendapat perhatian berbanding dengan kumpulan militan seperti Kumpulan Islamic State (IS), Jemaah Islamiah (JI), Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) dan beberapa kumpulan ajaran sesat yang lain.

Namanya jarang-jarang disebut malah jauh sekali untuk dikaitkan dengan gerakan militan di Malaysia atau gerakan teroris antarabangsa. Sejak pergerakan Hizbut Tahrir difatwakan sebagai pertubuhan yang menyeleweng daripada ajaran Islam dan diharamkan oleh kebanyakan Jawatankuasa Fatwa Negeri, gerakan ini telah mula mendapat perhatian.

Persoalannya, apakah gerakan Hizbut Tahrir akan memberikan satu ancaman kepada keselamatan negara ini jika ia dibenarkan bertapak dan menyebarkan pengaruhnya di sini?

Jika kita mengambil contoh di Indonesia, gerakan Hizbut Tahrir dilihat semakin berkembang walaupun telah diharamkan dan memberi ancaman keselamatan kepada negara. Mereka mula menggerakkan masyarakat untuk melakukan tunjuk perasaan menentang pemerintah dan meniupkan semangat anti Amerika.

Memandangkan gerakan Hizbut Tahrir mempunyai ideologi yang hampir sama dengan kumpulan militan yang lain dan mereka berpotensi untuk menyemarakkan semangat anti Amerika, anti Barat, memusuhi pemerintah, serta memusuhi sistem-sistem yang ada sekarang (terutamanya berkeyakinan sistem demokrasi dan pilihanraya itu haram) maka gerakan Hizbut Tahrir adalah suatu gerakan yang boleh membahayakan keselamatan negara ini. Apatah lagi jika dibiarkan berkembang, gerakan ini akan melangkah setapak lagi untuk menentang kewujudan agama-agama lain di negara ini dan menentang sistem-sistem yang dilaksanakan atas alasan ianya tidak mengikut sistem Islam. Dalam negara yang masyarakatnya majmuk seperti negara kita, ideologi Hizbut Tahrir tersebut sudah semestinya akan mengkucar kacirkan perpaduan masyarakat dan menjejaskan keselamatan negara ini.

Kesimpulannya, walaupun strategi untuk menegakkan Daulah Islmiyah yang diatur Hizbut Tahrir nampak seperti dilakukan secara aman tanpa melalui jalan-jalan jihad, namun perlu diingat bahawa ideologi Salafi Jihadi yang menjadi keyakinan kumpulan itu perlu dipantau. Strategi yang bermula dari membangkitkan semangat masyarakat dilihat akan menimbulkan kebangkitan rakyat pada suatu hari untuk menggulingkan kerajaan demi melaksanakan matlamat pembentukan Daulah Islam.

 

Sumber: Bahagian Penyelidikan Alhaqcentre Malaysia


Comments