HATI-HATI DALAM SETIAP TINGKAH LAKU, DIKHUATIRI JATUH MURTAD TANPA SEDAR


“Nabi Yusof smart, aku smart lebih sikit dari nabi.”

“Senyum la sikit, muka masam je dah macam malaikat mungkar nakir dah aku tengok.”

“Jika ikut kaedah Islam, maka mundur lah negara kita ni..”

“Aku malas nak solat bulan ni, jadi aku nak murtad lah sebulan. Eh gurau je, gurau je.”

Nampak seperti gurauan, tapi tahukah anda yang perkataan-perkataan ini boleh menyebabkan kita jatuh kufur tanpa sedar? Sering kita lihat, masyarakat negara ini seolah-olah memandang enteng setiap tingkah laku dan pertuturan tanpa mereka sedari yang sebenarnya perbuatan itu boleh mengundang dosa dan tiada cara lain yang boleh dilakukan selain taubat nasuha.

Apatah lagi hidup masyarakat zaman kini yang dikawal oleh arus media perdana seperti lambakan platform media sosial menyebabkan setiap tingkah laku yang dirakam menjadi ikutan masyarakat tidak kira sama ada dewasa ataupun belia kerana dianggap sebagai sebuah trend tanpa diketahui bahawa tindakan tersebut mengundang dosa dan menyebabkan seseorang itu jatuh murtad tanpa sedar.

Firman Allah SWT:

"Sesiapa antara kamu yang murtad (keluar menjadi kafir semula) dari agamanya (agama Islam), lalu dia mati dalam keadaan kafir, maka orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat serta mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya." (QS al-Baqarah: 217)

Oleh kerana itu, Islam mewajibkan umatnya menuntut ilmu supaya dapat menegakkan kebenaran dan melepaskan diri daripada kejahilan. Perkara yang paling penting ialah ilmu yang dipelajari hendaklah diamalkan. Ini termasuklah perkara yang membatalkan iman ialah riddah atau murtad yang diistilahkan syarak keluar daripada iman dan kembali kepada kekafiran. Orang Islam boleh murtad apabila melakukan perkara menyebabkan kekafiran melalui perkataan, perbuatan atau keyakinan.

Jadi, berwasapadalah dalam setiap tingkah laku yang diamalkan. Sekiranya kita menyedari yang sesuatu perbuatan itu keterlaluan dan dikhuatiri boleh membatalkan iman dan jatuh kufur tanpa sedar, segeralah memmohon keampunan daripada Allah SWT. Sebagaimana Sabda Rasulullah SAW:

“Perbaharuilah iman kamu. Dikatakan: Wahai Rasulullah, bagaimana kami mahu memperbaharui keimanan kami? Baginda menjawab: Perbanyakkan mengucap La Ilaaha Illallah.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad: 8710)


Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Berita Harian ‘Jaga kata, perbuatan elak batal iman’ (14 Oktober 2017)


Comments