IDEOLOGI RADIKAL SALAFIYAH JIHADIYAH YANG DIYAKINI KUMPULAN MILITAN MEMANG MUDAH MEMPENGARUHI MASYARAKAT JIKA TIDAK DIBENDUNG


Ideologi Salafiyah Jihadiyah menjadi pegangan dan justifikasi kumpulan militan atau kumpulan pemisah agama untuk menggerakkan umat Islam serta melakukan agenda jihad militan. Kumpulan militan Islam melakukan tindakan keganasan atas alasan melaksanakan jihad dan berkeyakinan tindakan yang dilakukan adalah sebagai satu agenda suci melaksanakan sunnah Rasulullah S.A.W. untuk menegakkan negara Islam dan seterusnya bergerak ke arah pembentukan Khalifah Islam di muka bumi ini. 

Kumpulan ini mendakwa mereka berjuang mengikut fahaman Salaf dan menegakkan kembali Islam (negara dan Khalifah Islam) hanya melalui satu-satunya jalan atau kaedah iaitu melalui jihad (perang) melawan orang-orang kafir.

Kumpulan Salafiyah Jihadiyah seperti kumpulan Abu Sayyaf, Kumpulan Pemisah Thailand, Filipina, Indonesia, Daesh/IS, Jemaah Islamiyah, al-Qaeda, dan lain-lain mempunyai ideologi yang sama iaitu ideologi Salafiyah Jihadiyah. Hanya yang membezakan antara mereka adalah dari segi strategi dan bentuk tindakan yang lebih menjadi keutamaan dalam pergerakan mereka sahaja. Ideologi yang dipegangi oleh kumpulan Salafiyah Jihadiyah diringkaskan seperti berikut:-

1. Pemahaman akidah tauhid tiga serangkai (Tauhid Uluhiyah, Rububiyyah, Asma was Siffat), Tauhid Hakimiyyah (Tauhid dalam berhukum) dan doktrin takfiri

2. Meyakini bahawa Jihad (perang) adalah satu kewajipan

3. Membunuh orang kafir dan orang awam dibenarkan dan operasi bom bunuh diri adalah operasi jihad serta pelakunya adalah syahid

4. Semua sistem Barat adalah sistem kufur yang perlu ditolak atau diganti

5. Mengamalkan akidah al-Wala wa al-Bara ’ (kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada Islam dan berlepas diri daripada apa yang dianggap tidak Islam)

6. Perjuangan mewujudkan Negara Islam dan Khalifah Islam adalah satu kewajipan

7. Meyakini di akhir zaman nanti tentera Imam Mahdi akan muncul di bumi Syam (Iraq, Syria, Lebanon dan kawasan sekitarnya).


Sumber: Bahagian Risikan, Angkatan Tentera Malaysia.


Comments