IMPLIKASI AJARAN SESAT TERHADAP KESUCIAN ISLAM DAN KESELAMATAN NEGARA



Negara Malaysia tidak terlepas daripada gejala ajaran sesat ini yang boleh mencemarkan kesucian agama Islam dan boleh menggugat keharmonian negara.

Sebahagian besar daripada ajaran sesat ini jelas menunjukkan fahaman-fahaman atau amalan-amalan yang bertentangan dengan syariat Islam yang sebenar. Ajaran sesat merupakan rekaan yang wujud dalam persoalan prinsip agama yang tiada sandarannya dalam al-Quran, hadis, ijma’ atau qias. Sebagaimana dalam firman Allah S.W.T. dalam Surah al-Ahzab, ayat 36:

Maksudnya: “Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas”

Gerakan ini yang dijalankan secara terang-terangan dan ada juga yang bergerak secara halus dan tersembunyi tanpa disedari secara tidak langsung boleh memberikan implikasi yang negatif kepada umat Islam. Antara implikasi tersebut adalah:

1. Membawa kemungkinan seseorang itu menjadi murtad kerana syirik atau menyalahi prinsip-prinsip utama ajaran Islam.

2. Menyebabkan ibadah dan amalan seseorang itu tidak diterima dan menjadi sia-sia.

3. Menyebabkan perpecahan dan permusuhan sesama umat Islam. Khususnya apabila sesebuah ajaran berkenaan mendakwa bahawa orang yang selain dari kumpulannya adalah salah. Terdapat juga dakwaan yang mengatakan orang yang tidak mengikuti kumpulan mereka adalah kafir.

4. Menggalakkan kehidupan yang bertunjangkan pemuasan nafsu sehingga melahirkan anak luar nikah dan amalan seks bebas dalam masyarakat.

5. Menimbulkan ancaman pada keselamatan negara dan keharmonian masyarakat seperti yang berlaku pada 2 Julai 2000 yang melibatkan kumpulan al-Maunah.

6. Menghalang kemajuan dan pembangunan masyarakat serta negara.

7. Menghambat kemajuan dakwah.

8. Memberi gambaran dan imej yang tidak baik terhadap agama Islam.

Justeru itu, pihak-pihak bertanggungjawab perlu memainkan peranan sosialnya dengan memberikan penjelasan kepada masyarakat melalui pelbagai platform bagi memberi kesedaran terhadap bahayanya ajaran sesat. Umat Islam juga harus meyakini bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

.

Sumber: Pejabat Mufti Negeri Selangor.

FOLLOW US:

http://facebook.com/alhaqcentremalaysia

http://al-haqcentre.blogspot.com

http://instagram.com/alhaqcentre

 


Comments