LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN UNTUK MEMBENDUNG PENULARAN FAHAMAN EKSTREMIS DAESH PERLU DIBUAT SECARA BERTERUSAN


Di Malaysia, walaupun ancaman kumpulan Daesh tidak wujud secara berskala besar, namun langkah-langkah menanganinya perlu dilakukan secara berkesan dan konsisten. Pencegahan ekstremisme secara umumnya dan kumpulan Daesh secara khususnya bukan sahaja bergantung kepada langkah penguasaan undang-undang dan risikan ketenteraan sahaja, tetapi pencegahan perlu dilakukan daripada akar umbi. Secara mudahnya, beberapa agensi perlu bergerak seiring dalam menangani ancaman ekstremis seperti Daesh.

Institusi Agama: Jabatan-jabatan Agama di peringkat Persekutuan dan Negeri perlu mengambil pelbagai pendekatan untuk membendung penularan kumpulan ekstremis ini seperti melakukan pelbagai aktiviti dengan para belia untuk memberi kesedaran tentang bahayanya kumpulan ekstremis seperti IS dan Daesh. Selain itu, dalam teks-teks khutbah dan laman rasmi JAKIM mahupun JAIN perlu diterapkan kesedaran tentang bahayanya ideologi-ideologi radikal yang dibawa oleh kumpulan tersebut.

Institusi Keselamatan: Pihak berkuasa seperti PDRM dan Kementerian Pertahanan sememangnya telah memainkan peranan yang amat penting dalam membendung kumpulan ini daripada terus berkembang di Malaysia. Penangkapan dibuat, undang-undang dijadikan sebagai alat kawalan sosial dan menyediakan program pemulihan bagi meneutralisasikan semula ideologi-ideologi radikal yang telah didoktrinkan oleh kumpulan Daesh kepada seseorang individu tersebut.

Institusi Pendidikan: Sekolah atau universiti di Malaysia perlu memainkan peranan yang penting dalam membanteras kumpulan ekstremis ini daripada terus berkembang seperti penganjuran seminar atau wacana sebagai salah satu medium yang memberi kefahaman dan kesedaran kepada para pelajar tempatan. Penghasilan jurnal dan artikel juga perlu diperbanyakkan agar hasil kajian dapat dibaca, dimanfaatkan dan memberi pengetahuan kepada masyarakat mengenai segala aspek radikal kumpulan Daesh.

Media: Seharusnya media memainkan peranan utama dalam mengekang ideologi Daesh daripada menular dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia. Antaranya ialah dengan menyiarkan dokumentari berkaitan Daesh agar masyarakat sedar tentang kewujudan dan bahayanya kumpulan tersebut kepada akidah dan masyarakat Islam itu sendiri.

Konsep Wasatiyyah dalam meminggirkan ekstremisme: Islam bukanlah sebuah agama yang menjuruskan kepada keganasan mahu pun menjadikan umatnya begitu ekstrem dengan hal yang berkait dengan ajaran Islam, malah Islam lebih menggalakkan konsep kesederhanaan. Islam menolak secara total sikap ekstrem dalam beragama.

Selain daripada institusi –institusi yang disebutkan di atas, setiap umat Islam itu sendiri perlu memahami ilmu kerana ia merupakan sebahagian daripada jihad di sisi agama. Dengan ilmu dan kefahaman yang mantap, ianya akan melahirkan individu Muslim yang mampu menghindarkan diri daripada ancaman-ancaman negatif sepertimana kumpulan Daesh ini.  Setiap pihak perlu memainkan peranan yang sewajarnya bagi membendung fahaman, gerakan atau kumpulan yang ekstremis demi mewujudkan masa depan yang aman damai dalam negara mahu pun di peringkat dunia.

 

Sumber: Universiti Kebangsaan Malaysia


Comments