MENTAATI PEMIMPIN MERUPAKAN SEBAHAGIAN DARI KESEMPURNAAN IMAN


Firman Allah SWT:

"Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan para pemimpin di kalangan kamu". (QS An-Nisa:59)

Islam memandang tinggi kedudukan seseorang pemimpin, apatah lagi jika pemimpin itu bersikap adil, amanah, menyeru rakyatnya ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Maka dengan itu, rakyat seharusnya taat kepada pemimpin yang yang mempunyai ciri-ciri seperti yang disebutkan di atas. Ini kerana mentaati pemimpin itu juga merupakan salah satu tanggungjawab yang akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat kelak.

Sebagaimana peringatan dari Rasulullah SAW:

“Sekalipun hanya seorang hamba yang dijadikan pemimpin yang memerintah kamu tetapi sesuai dengan kitabullah maka hendaklah kamu dengar dan mentaatinya” (Hadis riwayat Muslim)

Ayat al-Quran di atas sudah cukup menerangkan tentang tanggungjawab kita sebagai rakyat khususnya umat Islam untuk mentaati Allah dan Rasulullah serta para pemimpin yang dilantik kerana ia sebahagian daripada kesempurnaan iman. Ini kerana para pemerintah boleh ditafsirkan sebagai ‘bayangan’ Allah dan merupakan khalifah yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus sesebuah kerajaan agar aman dan sejahtera.

Daripada Abi Bakrah RA, bahawa aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Sultan (pemerintah) merupakan bayangan Allah di bumi. Barangsiapa yang memuliakannya maka Allah memuliakannya dan barangsiapa yang menghinanya maka Allah akan menghinanya.” [Riwayat al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (6988)] [Hadith ini dinilai sahih oleh Imam al-Suyuthi di dalam al-Jami’ al-Saghir, 496/1].

Ironinya, tuntutan dalam mentaati para pemerintah kepada rakyat negara ini khususnya kepada umat Islam wajib ditunaikan selama mana ia tidak melanggar batas hukum dan syarak. Ini kerana kewajipan mendengar dan mentaati adalah tanda kehebatan seseorang Muslim kerana dengan memiliki sifat tersebut akan menjadi sebab nusrah (bantuan) Allah SWT kepadanya.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

              


Comments