PANDANGAN KUMPULAN LIBERAL G25 BAHAWA MURTAD HANYALAH SATU DOSA SESEORANG DENGAN TUHANNYA SAHAJA ADALAH MENYESATKAN - MUFTI PERAK


Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, pandangan bekas kumpulan penjawat awam kanan (G25) bahawa keputusan seorang Islam keluar agamanya merupakan dosa antara individu itu dengan Tuhan sebagai pandangan yang sesat dan menyesatkan. Menurut beliau, pandangan itu disebabkan mereka terpengaruh dengan slogan kebebasan yang dicanangkan oleh golongan liberal di dunia barat.

"Saya menegaskan bahawa pandangan golongan liberalis seperti G25 adalah bercanggah dengan pendapat jumhur ulama dan Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak hari ini.

Kumpulan itu berkata, undang-undang negeri menghukum murtad, sama ada dengan denda, pemenjaraan atau pemulihan, tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama. Harussani berkata, Khalifah Abu Bakar As-Siddiq walaupun terkenal dengan kelembutan tetapi beliau tetap tegas dalam menangani golongan murtad. Ini jelas menunjukkan jenayah murtad adalah satu perkara yang serius dan kerajaan bertanggungjawab mengawal gejala ini.

Antara fakta sejarah yang disalahfahami oleh kumpulan G25 ialah berkenaan undang-undang Islam antara negeri-negeri yang dilihat tidak seragam kerana setiap negeri mempunyai adat resam dan budaya yang berbeza-beza. Beliau berkata, kedatangan Islam meraikan adat dan budaya masing-masing selagi tidak bercanggah dengan syarak.

"Sekiranya didapati bercanggah, maka Islam membetulkan mengikut prinsip syarak dan memberi alternatif yang lebih harmoni dan rahmah, inilah keistimewaan yang ada pada Islam yang begitu meraikan," katanya.

Sumber: Astro Awani - 16 Januari 2020

FOLLOW US:
http://facebook.com/alhaqcentremalaysia
http://al-haqcentre.blogspot.com
http://instagram.com/alhaqcentre

“BERSATU MENENTANG KEGANASAN”

Comments